Jurulatih kelahiran England, Graham Potter kini tidak lagi berperanan sebagai pengendali bagi skuad berpangkalan di London yang beraksi dalam kancah Liga Perdana Inggeris (EPL) iaitu Chelsea.
Ini berikutan Chelsea menerusi satu makluman mengejutkan di laman sesawangnya pada awal pagi tadi mengesahkan jurulatih berusia 47 tahun terbabit sudah meninggalkan kelab berjulukan The Blues.
Pemergian Potter ini hadir kira-kira 24 jam selepas Chelsea tumpas 0-2 kepada Aston Villa di lamannya sendiri, Stamford Bridge pada aksi minggu ke-29 EPL serta hampir tujuh bulan berkhidmat secara keseluruhan.
Club statement.
— Chelsea FC (@ChelseaFC) April 2, 2023
Untuk makluman semua, Potter yang sebelum ini merupakan ketua jurulatih Brighton & Hove Albion dilantik sebagai pengendali Chelsea pada awal September lalu dengan kontrak selama lima tahun bagi menggantikan Thomas Tuchel.
Antara pencapaian terbaiknya ketika bersama Chelsea adalah membawa kelab ini ke peringkat suku akhir Liga Juara-Juara UEFA (UCL) pada musim ini.
Bagaimanapun, pencapaian Chelsea dalam saingan EPL tidak begitu memberangsangkan dengan sekadar menghuni kelompok 10 terbawah selepas mengharungi 28 perlawanan.
Sementara itu, dalam makluman yang sama turut mengumumkan Bruno Saltor diangkat sebagai ketua jurulatih sementara Chelsea bagi menghadapi baki saingan musim ini.
Featured Image: Chelsea FC