Jurulatih kelahiran Northern Ireland, Brendan Rodgers kini berstatus sebagai penganggur setelah bertindak meninggalkan kelab yang diuruskannya selama lebih empat tahun iaitu Leicester City.
Skuad berjulukan The Foxes itu mengesahkan pemergian jurulatih berusia 50 tahun berkenaan menerusi satu makluman yang dikongsikan di laman sesawang rasminya, pada malam tadi waktu Malaysia.
Bukan itu sahaja, pemergian Rodgers turut diikuti oleh penolong pengurus, Chris Davies serta jurulatih kecergasan, Glen Driscoll.
Leicester City Football Club has reached a mutual agreement with Brendan Rodgers that will see him leave the Club after four years as our Men’s First Team Manager.
— Leicester City (@LCFC) April 2, 2023
Dalam makluman yang sama, Rodgers yang dilantik sebagai pengurus Leicester City bermula Februari 2019 turut diungkapkan sebagai salah seorang pengendali paling berjaya dalam sejarah kelab.
Ungkapan itu hadir atas pencapaiannya membimbing Leicester City menjuarai saingan Piala FA buat julung kalinya pada musim 2020-21 serta menjulang Piala Perisai Komuniti 2021.
Selain itu, Rodgers turut memastikan Leicester menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris di tempat kelima sebanyak dua kali berturut-turut sekaligus memberikan mereka slot ke saingan Liga Europa juga sebanyak dua kali berturut-turut.
Tidak dilupakan, bersama Rodgers, kelab yang dipengerusikan oleh ahli perniagaan Thailand ini turut berhasil mara buat julung kalinya ke peringkat separuh akhir saingan UEFA Europa Conference League 2022.
Bagaimanapun, disebalik semua kejayaan ini, prestasi Leicester City bimbingan Rodgers pada musim ini sangat tidak memberangsangkan dengan mereka menghuni zon penyingkiran setelah sekadar mengutip 25 mata daripada 28 perlawanan dalam saingan EPL.
Sementara itu, kekosongan yang ditinggalkan oleh Rodgers ini akan diisi oleh Adam Sadler dan Mike Stowell bagi menghadapi baki saingan musim ini.
Featured Image: Leicester City