Pelumba Itali, Marco Bezzecchi meraikan kejuaraan sulungnya dalam saingan MotoGP dalam perlumbaan Grand Prix (GP) Argentina dengan menyarung jersi Argentina dan menjulang nama Messi.
Menerusi ciapan MotoGP, pelumba berusia 25 tahun itu menyatakan kekagumannya terhadap bintang Argentina yang dianggap sebagai wira dan pemain terbaik di dunia dalam sukan bola sepak, sama seperti idolanya, Valentino Rossi dalam dunia pemotoran.
GP Argentina menyaksikan Bezzecchi yang beraksi untuk Mooney VR Racing Team menamatkan saingan di tempat pertama dengan catatan masa 44 minit 28 saat, diikuti Johann Zarco (Prima Pramac) dan Alex Marquez (Gresini) di kedudukan podium.
"Messi is the GOAT" 🎙️ – Marco Bezzecchi
The @VR46RacingTeam rider reacts to his football-themed celebration 🤩#ArgentinaGP 🇦🇷 pic.twitter.com/c1tTbMtQM7
— MotoGP™🏁 (@MotoGP) April 2, 2023
Kemenangan tersebut melonjakkan Bezzecchi untuk memintas kedudukan rakan senegaranya, Francesco Bagnaia yang merupakan pelumba Ducati Lenovo untuk menghuni kedudukan pertama kejohanan dengan 50 mata.
Bezzecchi mengutip 34 mata dalam saingan GP Argentina selepas memenangi perlumbaan pada Ahad yang memberikannya 25 mata dan baki 9 mata dikutip selepas berada di tempat kedua dalam aksi pelumbaan pecut pada Sabtu.
Musim 2023 merupakan musim kedua pelumba Itali itu dalam saingan MotoGP yang menyaksikan dirinya bermula cemerlang selepas berhasil meletakkan dirinya di kedudukan podium ketika di Belanda pada musim lalu.
Para pelumba akan berangkat ke Texas, Amerika Syarikat bagi menghadapi kejohanan GP Amerika yang akan berlangsung pada 14 hingga 16 April nanti.
Featured Image: MotoGP