Sukan SEA 2023: Kemboja Beri Tiket & Hak Penyiaran Eksklusif Percuma
April 3, 2023 Hafizuddin Omar

Tuan rumah bagi Sukan SEA Kali Ke-32 serta Sukan Para ASEAN Ke-12, Kemboja mengumumkan tidak mengenakan caj terhadap tiket bagi menyaksikan acara pembukaan, penutupan serta setiap acara permainan yang dipertandingkan di temasya terbabit.

Tawaran ini diberikan bukan sahaja kepada rakyatnya bahkan para penonton luar negara khususnya dari rantau asia tenggara yang ingin hadir memberikan sokongan kepada atlet dan kontinjen kegemaran masing-masing.

Pemberian ini dikurniakan oleh kerajaan Kemboja selepas satu mesyuarat baru-baru ini dan diumumkan menerusi satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Sekretariat Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Kali Ke-32 dan Jawatankuasa Penganjur Sukan Para ASEAN Ke-12.

Seperkara lagi yang diumumkan, kerajaan Kemboja turut menyatakan tiada yuran perlu dibayar bagi mendapatkan hak penyiaran eksklusif untuk menyiarkan kedua-dua temasya samada secara domestik atau antarabangsa.

Sebagai tambahan, temasya Sukan SEA ini akan bermula 5 hingga 17 Mei kelak. Sementara itu, Sukan Para ASEAN pula akan bermula pada 3 Jun dan berakhir pada 9 Jun.

Komen