Persekutuan Bola Sepak Perancis (FFF) mengeluarkan arahan kepada pegawai perlawanan untuk tidak membenarkan menghentikan permainan bagi memberi ruang kepada pemain beragama Islam berbuka puasa.
Menurut laporan media antarabangsa, Ketua Suruhanjaya Pengadil FFF, Eric Borghini berkata, amalan berbuka puasa semasa perlawanan itu tidak mematuhi peraturan FFF dan didakwa boleh mengganggu permainan.
Tambah beliau, perkara itu termasuk menghormati prinsip sekularisme di dalam bola sepak berdasarkan emel oleh badan induk bola sepak republik berkenaan yang dihantar kepada para pegawai perlawanan, kelab-kelab bertanding, pemegang lesen dan badan-badan bertanggung jawab.
La FFF rappelle l'interdiction des pauses pendant un match pour rompre le jeûne du ramadan : https://t.co/kFGvmIyRFF pic.twitter.com/RU4RFQFSpM
— L'ÉQUIPE (@lequipe) March 31, 2023
Keputusan ini mendapat maklumbalas yang pelbagai memandangkan beberapa bintang Ligue 1 juga merupakan mereka yang beragama Islam dan berpuasa di bulan Ramadhan seperti Presnel Kimpembe dan Achraf Hakimi (Paris Saint-Germain) serta Moussa Dembele (Lyon).
Dalam perkembangan yang sama, pengendali Nice, Didier Digard menempelak FFF ke atas keputusan yang dibuat dan menegaskan bahawa bola sepak Inggeris lebih berfikiran terbuka berbanding di Perancis.
Keputusan tersebut bertentangan dengan amalan yang ditetapkan pihak Liga Perdana Inggeris yang lebih inklusif dengan membenarkan para pengadil untuk menghentikan perlawanan seketika bagi memberi laluan kepada para pemain beragama Islam.
Featured Image: PSG – Paris Saint-Germain