Olimpik Khas (Special Olympics) dan Paralimpik merupakan dua organisasi yang memberikan tumpuan terhadap penglibatan golongan kurang upaya dalam sukan antarabangsa serta mendapat pengiktirafan daripada Jawatankuasa Antarabangsa Olimpik (IOC).
Namun begitu, terdapat perbezaan melibatkan kedua-dua organisasi ini. Bagi mengetahui perbezaan melibatkan kedua-dua entiti ini, Sukanz berhasil mendapatkan pencerahan daripada wakil Special Olympics Malaysia dan berikut adalah perbezaannya daripada aspek atlet, falsafah kesukanan serta organisasinya:
#1 Atlet
Pertamanya, Olimpik Khas menerima semua atlet kurang upaya intelektual yang berumur 8 tahun dan ke atas pada semua tahap kemampuan untuk berlatih dan bersaing dalam 30 jenis sukan Olimpik.
Oleh demikian, mana-mana individu yang mempunyai kurang upaya intelektual layak untuk menyertai Olimpik Khas.
Manakala paralimpik pula menerima atlet-atlet daripada enam kategori kekurangan utama iaitu amputasi, palsi cerebral, kurang upaya intelektual, masalah penglihatan, kecederaan saraf tunjang dan Les Autres.
Bagaimanapun, untuk menyertai Paralimpik, atlet perlu memenuhi kriteria tertentu dan memenuhi piawaian kelayakan tertentu termasuk bermain dalam peringkat kelayakan sebelum layak menyertai mana-mana temasya atau kejohanan.
#2 Falsafah Kesukanan
Olimpik Istimewa percaya dengan mendalam bahawa kuasa sukan adalah untuk membantu peserta memenuhi potensi diri dan tidak menyisihkan mana-mana atlet berdasarkan skor kelayakan.
Sebaliknya, Olimpik Khas menggunakan kaedah divisyen – skor setiap atlet adalah berdasarkan pertandingan yang adil menentang lawan yang mempunyai tahap kemampuan yang sama.
Bagi menyertai Paralimpik, atlet perlu memenuhi kriteria tertentu dan mencapai piawaian kelayakan untuk layak. Kriteria dan piawaian adalah khusus kepada sukan dan ditentukan oleh IPC Sports Chairpersons dan lain-lain.
Rumusannya, paralimpik adalah mengenai sukan elit berprestasi, dimana atlet akan melalui proses kelayakan yang ketat, supaya yang terbaik atau berkualiti tinggi berdasarkan prestasi bertanding di sukan.
#3 Struktur Organisasi
Olimpik Istimewa merupakan satu pergerakan global yang memacu dunia sukan untuk orang yang kurang upaya intelektual. Selain itu, ianya turut menumpukan perhatian terhadap membina jaringan antarabangsa atlet-atlet di semua tahap kemampuan yang bersaing dalam sukan sementara membina komuniti yang komited terhadap inklusif, penerimaan dan martabat untuk semua.
Dianggotai oleh 170 buah negara dari tujuh buah benua dan mempunyai ibu pejabat di Washington D.C. Amerika Syarikat. Mereka turut mempunyai 220 program yang berjalan setiap hari untuk pemerkasaan melalui 32 jenis sukan Olimpik.
Manakala, Paralimpik pula dijalankan oleh Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) dengan ibu pejabatnya terletak di Bonn, Jerman. IPC meletakkan visi untuk menjadikan dunia yang inklusif melalui sukan para dengan misi untuk mengepalai pergerakan paralimpik dan rakan sokongan untuk membolehkan atlet para mencapai kecemerlangan sukan.