10 Perkara Yang Perlu Anda Tahu Mengenai Orleans Masters
April 4, 2023 Meor Mohamad Amirul

Orleans Masters merupakan salah satu kejohanan Jelajah Dunia BWF yang telah mula dipertandingkan sejak 1994 bagi peringkat serantau di Perancis sebelum dinaiktaraf sebagai kejohanan nasional pada 1999 dan mula diiktiraf oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) pada tahun 2012.

Menjelang kejohanan yang berlangsung di Palais des Sports bakal bermula hari ini, Sukanz hidangkan 10 perkara yang perlu anda ketahui mengenai kejohanan ini merangkumi informasi berkenaan kejohanan termasuk 9 wakil Malaysia yang bakal beraksi untuk tatapan anda:

#1 Taraf Kejohanan

Orleans Masters merupakan salah satu kejohanan Jelajah Dunia BWF (Super 300) yang dahulunya berada pada taraf Gred 3 dan dikenali sebagai Cabaran Antarabangsa (2012-2017) sebelum dinaikkan taraf ke Super 100 (2018-2022).

#2 Sejarah & Latar Belakang

Orleans Masters hanya mula diiktiraf BWF pada 2012 sebagai sebahagian daripada sirkit Eropah dan ditukarkan nama ke Siri Antarabangsa Perancis sebelum kembali menggunakan nama Orleans bagi mengelakkan kekeliruan dengan Terbuka Perancis. 

#3 Jumlah Wakil Malaysia

Seramai 9 wakil Malaysia menyertai kejohanan kali ini dengan gandingan beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei diletakkan sebagai pilihan ke-7 kejohanan manakala gandingan Azryin Ayub-Low Juan Shen dan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing yang mendaftar pada mulanya menarik diri daripada kejohanan kali ini. 

#4 Dari Madrid ke Orleans

Seramai 7 wakil Malaysia yang menyertai kejohanan kali ini merupakan mereka yang beraksi dalam kejohanan Madrid Masters 2023 yang berakhir pada Ahad lalu.

#5 Hadiah Keseluruhan

Hadiah keseluruhan Orleans Masters 2023 bernilai AS$240,000 (bersamaan ±RM1,056,840); peningkatan sebanyak AS$150,000 berbanding edisi yang lalu iaitu AS$90,000 (bersamaan ±RM396,315).

#6 Hadiah bagi Setiap Kategori

Juara kategori perseorangan Orleans Masters 2023 akan membawa pulang hadiah wang tunai bernilai AS$18,000 (bersamaan ±RM79,263) manakala juara kategori beregu pula meraih AS$18,960 (bersamaan ±RM83,490) bagi setiap pasangan.

#7 Kutipan Mata Ranking

Juara setiap kategori Orleans Masters 2023 akan meraih 7000 mata manakala naib juara akan mendapat 5,950 mata secara individu bagi pengiraan ranking dunia. 

#8 Lokasi Kejohanan

Orleans Masters 2023 bakal berlangsung di Palais des Sports – sebuah kompleks sukan tertutup serbaguna berkapasiti sekitar 3,000 tempat duduk. Pemilihan venue ini menjadikannya sebagai lokasi rasmi kejohanan bagi edisi ke-11 penganjurannya sejak mula diiktiraf pada 2012.

#9 Juara Tunggal dari Malaysia

Mengikut rekod, Goh Jin Wei merupakan satu-satunya wakil Malaysia yang pernah meraih kejayaan dalam kejohanan Orleans Masters selepas berjaya menumpaskan wakil perseorangan wanita Indonesia, Fitriani pada tahun 2016. 

#10 Denmark Raja Orleans Masters

Wakil Denmark paling banyak muncul juara di Orleans Masters sejak 2012 dengan rekod keseluruhan 6 wakil setakat ini – perseorangan lelaki (1), perseorangan wanita (1) dan beregu campuran (4).

Komen