Sukan SEA: 2 Pemenang Emas Edisi Lalu Jadi Taruhan Negara Dalam Acara 100m Lelaki
April 4, 2023 Hafizuddin Omar

Kontinjen Malaysia mempertaruhkan dua individu yang pernah merangkul pingat emas dalam Sukan SEA terdahulu bagi berentap dalam acara lari pecut 100 meter (m) kategori lelaki pada temasya yang berlangsung di Kemboja bermula 5 Mei kelak.

Dua individu berkenaan ialah Haiqal Hanafi dan Khairul Hafiz Jantan yang merupakan pemenang pingat emas dalam acara terbabit pada temasya edisi 2019 dan 2017 masing-masing.

Sebagai rekod, pelumba berusia 23 dan 24 tahun masing-masing ini muncul juara pada edisi terbabit dengan catatan masa 10.35 saat (s) dan 10.37s masing-masing.

Bagaimanapun, Malaysia tidak berhasil mencipta hatrik memenangi pingat emas dalam acara ini apabila pelari muda, Azeem Fahmi tersangkut di peringkat kelayakan ekoran ‘false start’ dan Muhammad Arsyad menamatkan perlumbaan di tempat keenam dalam pusingan akhir di Sukan SEA 2021 Vietnam.

Sementara itu, menerusi perkongsian daripada Majlis Olimpik Malaysia (MOM), kedua-dua pelari ini turut disenaraikan bagi mengambil bahagian dalam acara 4x100m.

Antara pelari lain yang turut disenaraikan bersama-sama mereka ialah Jonathan Nyepa (27 tahun), Muhammad Arsyad (20 tahun), Zulfiqar Ismail (24 tahun) dan pelari berdarah campuran, Russel Alexander (24 tahun).

Pada masa yang sama, Arsyad dan Russel turut menjadi sandara Malaysia bagi acara lari pecut 200m kategori lelaki.

Featured Image: KBS & KL2017

Komen