Artikel

Sasaran Tinggi Terhadap Skuad Bawah Umur Tidak Sesuai – Safee Sali

Tidak sesuai untuk meletakkan sasaran yang tinggi buat skuad muda negara demi perkembangan mereka dan sekiranya mara ke peringkat tertinggi, perkara tersebut merupakan bonus buat para pemain.

Pandangan tersebut disuarakan bekas penyerang kebangsaan, Safee Sali berikutan sasaran yang diletakkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) ke atas skuad bawah 22 tahun (B-22) dan bawah 17 tahun (B-17) kebangsaan.

Sebelum ini, FAM telah mengumumkan sasaran layak ke pentas akhir buat skuad B-22 negara di Sukan SEA manakala pasukan B-17 kebangsaan diletakkan harapan untuk mara ke peringkat separuh akhir Piala Asia B-17 bagi melayakkan mereka ke Piala Dunia B-17 yang berlangsung pada November.

Sebaliknya, Presiden Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) itu menggesa semua pihak untuk memberi ruang kepada pemain-pemain muda pamer potensi sebenar mereka. 

“Kita tidak boleh menaruh harapan yang terlalu tinggi. Saya rasa mereka harus diberi ruang untuk meneroka permainan mereka sendiri. Bagi mereka ruang untuk mendapat keyakinan.”

“Jangan terlalu meletakkan harapan serta memuji mereka supaya tidak terbuai kerana jika mereka tidak berjaya, ia akan memusnahkan harapan dan perkara itu tidak bagus untuk perkembangan mereka”, tambah Safee ketika ditemui dalam Majlis Berbuka Puasa dan Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman antara PFAM dan Skymatt Travel and Services Sdn. Bhd.

Skuad B-22 Malaysia berjaya menjulang Piala Merlion pada Mac yang merupakan kejohanan pertama skuad tersebut di bawah kendalian E. Elavarasan dan bakal menyertai rombongan Sukan SEA di Kemboja yang bakal berlangsung pada 5 hingga 17 Mei.

Skuad kendalian Osmera Omaro pula akan ke Bangkok, Thailand bagi menghadapi Piala Asia B-17 yang dijadualkan bermula pada 15 Jun bagi menentang Yaman, Thailand dan Laos.

Featured Image: PFAM | Syamil Rosli

komen