Piala Dunia B-17: FIFA Lucut Peru Sebagai Tuan Rumah
April 4, 2023 Hafizuddin Omar

Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) sekali lagi bertindak melucutkan hak tuan rumah bagi salah satu kejohanan bawah umurnya. Kali ini pelucutan itu dikenakan terhadap Peru melibatkan saingan Piala Dunia Bawah 17 Tahun (B-17) 2023.

Badan induk bola sepak dunia itu mengumumkan perkara berkenaan menerusi satu kenyataan media selepas mengadakan satu perbincangan meluas bersama Persekutuan Bola Sepak Peru (FPF).

Puncanya disebabkan oleh negara di benua amerika selatan itu tidak berupaya memenuhi komitmen dalam menyediakan infrastruktur yang diperlukan untuk menganjurkan kejohanan terbabit.

Akan tetapi, FIFA masih terbuka untuk menerima Peru bagi menganjurkan kejohanan lain pada masa hadapan.

Sementara itu, FIFA masih mengekalkan tarikh kejohanan iaitu bermula 10 November dan berakhir pada 2 Disember 2023. Hanya negara hos atau tuan rumah baharu sahaja akan dikenalpasti oleh Ahli Majlis FIFA dalam masa terdekat.

Minggu lalu, FIFA mengumumkan melucutkan Indonesia sebagai hak tuan rumah kejohanan Piala Dunia B-20 2023. Dipercayai, pelucutan itu bersangkutan dengan pengharaman penyertaan Israel oleh Indonesia yang layak secara merit setelah muncul naib juara Kejohanan UEFA B-19 2022.

Featured Image: FIFA

Komen