Persatuan Pemain-Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) bersama-sama agensi pelancongan haji dan umrah, Skymatt Travel & Services tampil berkolaborasi untuk menawarkan satu pilihan buat para pemain bola sepak menunaikan umrah terutamanya ketika liga sedang berehat atau “off season”.
Kolaborasi antara PFAM dan agensi terbabit akan bermula dengan Program Kembara Umrah & Ziarah PFAM selama dua minggu yang dijadualkan pada 26 Disember kelak dengan sasaran penyertaan dari 40 hingga 80 orang.
Difahamkan, ini merupakan satu inisiatif unik oleh PFAM dalam membantu para pemain bola sepak profesional menunaikan ibadah haji dan umrah menerusi pakej yang ditawarkan bersama Skymatt Travel & Services.
Selain itu, ianya turut bertujuan untuk mewujudkan persekitaran yang selamat dan selesa kepada ahli PFAM yang bagi tujuan umrah serta membantu ahli dari segi bimbingan serta panduan rohani ketika berada di tanah suci.
Presiden PFAM merangkap bekas penyerang skuad kebangsaan, Safee Sali mendedahkan idea ini dicetuskan oleh Bendahari PFAM merangkap penjaga gol Harimau Malaya, Farizal Marlias setelah kembali menunaikan umrah pada tahun lalu.
Pada masa yang sama, beliau menganggap program ini menunjukkan PFAM sangat prihatin terhadap kebajikan pemain daripada segala sudut samada di atas padang mahupun luar padang.
Untuk makluman semua, perjanjian kolaborasi antara PFAM dan Skymatt Travel & Services ini disempurnakan dalam satu majlis menandatangani memorandum perjanjian persefahaman (MOU) bertempat di Furama Bukit Bintang, Kuala Lumpur, semalam.
Featured Image: PFA Malaysia | Syamil Rosli