Kejohanan Badminton Asia (BAC) yang berlangsung pada penghujung bulan ini di Dubai akan diwarnai dengan kehadiran 20 wakil negara seperti mana disenaraikan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada hari ini.
Kejohanan yang bermula pada 25 April itu memperlihatkan kategori perseorangan lelaki akan dikepalai Lee Zii Jia beserta Ng Tze Yong, Liew Daren dan Cheam June Wei manakala perseorangan wanita pula terdiri daripada Goh Jin Wei, Kisona Selvaduray, Letshanaa Karupathevan dan Tan Zhing Yi.
Zii Jia pastinya akan mempertaruhkan segala kudratnya bagi mempertahankan kejuaraan yang berjaya diperolehnya pada tahun lalu apabila menewaskan perseorangan Indonesia, Jonatan Christie di pentas akhir.
Bagi kategori beregu lelaki, Aaron-Wooi Yik akan mengetuai cabaran bersama Teo Ee Yi-Ong Yew Sin, Man Wei Chong-Tee Kai Mun dan Tan Kian Meng-Tan Wee Kiong. Sementara itu, beregu wanita pula dibarisi Pearly Tan-Thinaah Muralitharan, Vivian Hoo-Lim Chiew Sin, Ng Qi Xuan-Teoh Le Xuan dan Cheng Su Hui-Cheng Su Yin.
2️⃣1️⃣ days to go!
Selamat maju jaya team 💪#DemiMalaysia#BadmintonMalaysia pic.twitter.com/iJJEWj66oc
— BAM (@BA_Malaysia) April 4, 2023
Gandingan Aaron-Wooi Yik pasti mahu membalas dendam selepas kempunan di pentas akhir musim lalu apabila kecundang di tangan beregu Indonesia, Pramudya Kusumawardana-Yeremia Rambitan.
Beregu campuran pula diketuai gandingan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing dan diikuti Goh Soon Huat-Shevon Lai, Chan Peng Soon-Cheah Yee See dan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei.
Daripada 20 wakil negara yang disenaraikan, 6 wakil berada dalam senarai simpanan (reserved list) merangkumi perseorangan lelaki dan wanita, Liew Daren dan Letshanaa masing-masing.
Untuk makluman semua, kejohanan ini tidak memberi sebarang ganjaran berupa hadiah wang tunai tetapi pungutan mata ranking bagi saingan BAC setaraf dengan Jelajah Dunia BWF (Super 1000) dengan 12,000 mata untuk dikutip jika muncul juara.
Sebagai tambahan, sesi undian kejohanan yang akan berlangsung di Dubai Exhibition Centre itu bakal berlangsung pada 11 April 2023 (Selasa).
Featured Image: Badminton Association of Malaysia