Artikel

Azizulhasni Terbayang Karipap Inti Oksigen, Martabak Hangit Sebelah

Tatkala sedang giat menjalani latihan dalam keadaan berpuasa di Palma de Mallorca – sebuah kepulauan yang terletak di perairan Mediterranean, jaguh basikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang memikirkan peluang buat dirinya untuk merasai juadah yang tular terjual di bazar-bazar Malaysia.

Namun begitu, pelumba berusia 35 tahun ini tidak membayangkan juadah-juadah yang mengiurkan. Sebaliknya, apa yang terbayang di fikirannya adalah karipap inti oksigen, martabak hangit serta sup kaki ayam tak potong kuku.

Perkara tersebut diungkapkan Azizul yang terkenal dengan julukan “The Pocket Rocketman” ini menerusi hantaran di laman sosialnya, pada hari ini.

Dalam hantaran yang sama, Azizul turut berkongsikan kepenatan atlet menjalani latihan tatkala sedang berpuasa di bulan Ramadan. Sebelum ini, beliau pernah mendedahkan puasa di negara terbabit berlanjutan sekitar 15 jam sehari.

“Di sinilah kita dapat merasakan yang kekuatan mental itu adalah di atas kekuatan fizikal. Dan ketahuilah anda semua yang di atas kedua-dua kekuatan itu berdirinya kekuatan spiritual.” tulis pemenang pingat perak Sukan Olimpik 2020 terbabit.

Untuk makluman semua, Azizul bersama-sama pelumba negara yang lain sedang menjalani kem latihan di Sepanyol bagi menyiapkan diri untuk perlumbaan di sekitar eropah kelak.

komen