Kelantan FC membuat satu kejutan kira-kira 40 minit sebelum turun menentang kelab seteru pantai timur, Terengganu FC dengan mengumumkan merehatkan ketua jurulatihnya, Choi Moon Sik berkuat-kuasa serta merta.
Pengumuman penuh kejutan itu hadir menerusi makluman yang dihebahkan di pelbagai platform media sosial kelab berjulukan The Red Warriors (TRW) sebentar tadi.
Kelab yang dimiliki oleh ahli perniagan dan pelaburan, Norizam Tukiman ini tidak memberikan perincian mengenai tindakan mereka merehatkan jurulatih berusia 52 tahun dari Republik Korea itu selepas mengharungi enam perlawanan Liga Super musim ini.
Jika dilihat kepada prestasi semasa, Kelantan bimbingan Coach Choi hanya berhasil melakar satu kemenangan serta satu seri daripada enam perlawanan terbabit dan kini menghuni tangga ke-11 liga dengan pungutan empat mata.
Untuk makluman semua, Coach Choi yang pernah beraksi di beberapa edisi Piala Dunia sewaktu bergelar pemain suatu masa dahulu diumumkan menjadi ketua jurulatih Kelantan sekitar pertengahan Januari lalu.
Sementara itu, bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Coach Choi, Kelantan turut memaklumkan bekas ketua jurulatihnya pada musim lalu, Rezal Zambry Yahya diangkat menjadi “Caretaker Head Coach” bermula perlawanan ketujuh Liga Super, pada malam ini.
Difahamkan, Rezal akan mengemudi Kelantan sehingga pihak pengurusan melantik ketua jurulatih yang baharu.
Featured Image: TRW Kelantan FC