Lim Teong Kim Berkemungkinan Besar ‘Sarung But’ Ganti Pemain Cedera 
April 5, 2023 Meor Mohamad Amirul

Ketua jurulatih Perak FC, Datuk Lim Teong Kim sempat berseloroh untuk kembali beraksi di atas padang bagi menggantikan pemain yang cedera selepas tonggak penyerangnya, Seo Seon-ung dikhabarkan mengalami kecederaan serius. 

Reaksi itu diberikan beliau selepas tampak kecewa dan berang terhadap kekasaran yang dilakukan ke atas penyerang Korea Selatan tersebut serta menempelak situasi perlawanan ketika itu sebagai tidak adil. 

“Awak suruh saya menerima (keadaan) begini sebagai jurulatih. Mengapa begini? Nanti saya kata macam-macam, dia (badan induk bola sepak negara) akan denda saya. Kita perlu orang yang betul-betul buat sesuatu supaya kedua-dua pihak dapat keadilan.”

“Itu sahaja permintaan kami. Sekarang, Seo (Seon-ung) telah cedera dan berkemungkinan besar, saya perlu bermain”, tegas Teong Kim ketika sidang media selepas perlawanan menentang Johor Darul Ta’zim (JDT). 

Penyerang berusia 23 tahun itu menjadi sandaran utama Perak dalam semua perlawanan Liga Super setakat ini serta muncul penjaring terbanyak kelab dengan 3 gol sebelum mengalami kecederaan setelah dikasari pertahanan lawan, Shane Lowry. 

Dalam perlawanan tersebut, JDT berjaya meraih 3 mata penuh di Ipoh selepas membenam Perak dengan lima jaringan tanpa balas menerusi Hasnul Zaim (OG), Diogo Luis Santo, Bergson serta jaringan berganda Leandro Velasquez. 

Kemenangan ini meletakkan skuad berjulukan Harimau Selatan itu kekal di puncak liga dengan 21 mata selepas 7 perlawanan.

Featured Image: Perak Football Club

Komen