Satu-satunya wanita yang mempunyai Lesen Kejurulatihan AFC/FAM A di Malaysia, Petronella Douny kini dilantik sebagai ketua jurulatih skuad bola sepak wanita bawah 17 tahun (B-17) negara yang baharu.
Difahamkan ianya menjadi salah satu faktor penyumbang kepada pemilihan jurulatih berusia 36 tahun kelahiran Sabah tersebut sebagai ketua pengendali skuad berjulukan Malayan Tigress B-17 ini.
Pengesahan perlantikan Petronella itu hadir menerusi satu makluman oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menerusi satu siaran media yang dikeluarkan pada hari ini.
Selain daripada memiliki kelayakan daripada segi lesen kejurulatihan, menurut Pengarah Teknikal FAM, Scott O’Donell, Petronella juga pernah menggalas tugas sebagai penolong jurulatih skuad Malayan Tigress B-18 pada kempen Kejuaraan AFF Wanita B-18 di Palembang, Indonesia tahun lalu.
Tambahan pula, Petronella diketahui sebagai seorang yang memberikan komitmen tinggi dalam arena bola sepak wanita menerusi pembabitan berterusan terhadap pembangunan sukan ini di negeri kelahirannya.
Pada masa yang sama, perlantikan Petronella ini juga sejajar dengan visi FAM untuk memperkasakan lagi bola sepak wanita dengan membina skuad bola sepak wanita kebangsaan yang terdiri daripada kaum wanita.
Featured Image: Football Association of Malaysia