Artikel

Penyokong Kelantan Mahu Bosszam Direhatkan?

Ruangan komen pada hantaran terakhir di Facebook Page Zamsaham atau nama sebenarnya, Norizam Tukiman dipenuhi dengan pelbagai reaksi oleh para pengikutnya sejurus Kelantan FC mengumumkan merehatkan Choi Moon-sik serta tumpas 0-5 kepada Terengganu FC, semalam.

Antara komen yang dilontarkan oleh orang ramai kepada pemilik kelab berjulukan The Red Warriors (TRW) adalah kritikan terhadap prestasi pasukan, pemilihan pemain kesebelasan utama, tangkap layar mengenai ‘cerita dalam kain’ yang didedahkan ejen kepada Moon-sik serta mahu ‘merehatkan’ Norizam yang turut dikenali sebagai Bosszam.

Bercakap mengenai tangkap layar tersebut, ejen yang bernama Myeongho Jeong menyimpulkan Kelantan sebagai sebuah kelab hanya cantik di luar namun di dalamnya lebih teruk daripada kelab amatur.

Selain daripada merehatkan Moon-sik dengan cara yang terancang, Jeong yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) JMH Sports Agency turut mendedahkan pemilihan kesebelasan pemain itu dibuat oleh pengurusan tertinggi kelab dan bukannya oleh ketua jurulatih.

Paling mengejutkan, Jeong turut mengungkapkan bahawa para pemain sudah tidak menerima gaji selama dua bulan selain tidak menitikberatkan isu kebajikan seperti tidak diberikan makan apabila menempuh perjalanan panjang.

Featured Image: TRW Kelantan FC

komen