Rezal Tidak Cukup Kelayakan Jadi Jurulatih Liga Super 
April 5, 2023 Meor Mohamad Amirul

Pengendali sementara Kelantan FC, Rezal Zambery Yahya menegaskan skuad The Red Warriors (TRW) masih memerlukan seorang ketua jurulatih dan kehadirannya bukan untuk kekal menggantikan Choi Moon-sik yang direhatkan. 

Menurut Rezal, status semasa dirinya yang tidak memenuhi kelayakan yang telah ditetapkan pengelola liga, Malaysia Football League (MFL) antara sebab Kelantan memerlukan seorang ketua jurulatih lain.

“Sudah semestinya, saya tidak mencukupi requirement untuk menjadi seorang jurulatih Liga Super yang memerlukan Lesen Pro. Jadi, saya sebagai caretaker sehingga Kelantan FC dapat mencari seorang ketua jurulatih”, ujar Rezal dalam sidang media selepas perlawanan menentang Terengganu. 

Tambah pengendali berusia 44 tahun itu, Moon-sik yang beraksi di Piala Dunia hanya sedang direhatkan. Pihak pengurusan akan mengeluarkan kenyataan rasmi berkenaan situasi semasa melibatkan pasukan dan jurulatih berusia 52 tahun itu kelak.

Sebagai rekod, Rezal merupakan pengendali TRW dalam saingan Liga Premier 2022 sebelum diturunkan pangkat sebagai penolong ketua jurulatih berikutan lesen kejurulatihan yang dimilikinya hanya bertaraf FAM A sahaja. 

Perlawanan pertama Rezal sebagai pengendali sementara Kelantan bermula tragis selepas pasukan itu tewas 5 jaringan tanpa balas menentang Terengganu menerusi Jordan Mintah, Adisak Kraisorn, Hakimi Abdullah dan jaringan berganda Ivan Mamut.

Featured Image: TRW Kelantan FC

Komen