5 Fakta Menarik Zara Aleesya – Atlet Termuda Malaysia ke Sukan SEA 2023
April 8, 2023 Meor Mohamad Amirul

Majlis Olimpik Malaysia (MOM) telah mengemukakan senarai atlet bagi beberapa acara yang bakal dipertandingkan di Sukan SEA 2023 dengan satu acara dilihat menarik perhatian iaitu finswimming.

Menerusi acara tersebut, seorang atlet yang disenaraikan turut menarik perhatian kerana menjadi atlet termuda Malaysia untuk menyertai Sukan SEA 2023 di Kemboja – Zara Aleesya. 

Berikut Sukanz hidangkan 5 fakta menarik tentang atlet dengan julukan Little Mermaid itu:

#1 Anak Jati Negeri Bersejarah, Melaka

Zara Aleesya merupakan anak kelahiran Melaka yang berusia 11 tahun dan bersekolah di Sekolah Kebangsaan (P) Methodist 2 Melaka yang terpilih menjadi atlet kebangsaan di Sukan SEA 2023 selepas menewaskan peserta yang lebih dewasa awal tahun ini. 

#2 Atlet Kedua Termuda Negara

Pada usia 11 tahun, Zara Aleesya mewakili negara dalam salah satu acara sukan terbesar rantau ini menjadikan dia atlet kedua termuda negara yang pernah menyertai Sukan SEA sejak 2001 selepas Aaliyah Yoong. 

Adik kepada Aaliyah Yoong iaitu Adam Yoong merupakan atlet termuda negara yang mewakili Malaysia di Sukan SEA 2017 bagi acara ski air ketika berusia 9 tahun. Aaliyah dan Adam merupakan adik kepada bekas pelumba F1 negara, Alex Yoong.

#3 Hasrat Ibu Bapa Libatkan Zara Dalam Bidang Sukan

Zara Aleesya lahir di dalam keluarga sukan; bapanya seorang cikgu di Sekolah Sukan Negeri Melaka manakala ibunya, Haslinda Haron merupakan bekas atlet olahraga peringkat kebangsaan. 

Hasrat ibu bapanya mahu melihat Zara menjadi atlet olahraga terbantut akibat kurangnya akademi sukan tersebut di Melaka menyebabkan anak kecil ini terlibat dalam sukan renang dan gimnasium. 

#4 Potensi Zara Dikesan Awal

Mulai aktif sejak awal tahun ini, bakat dan potensi Zara dikesan setelah berjaya mencatatkan kejayaan dalam acara finswimming yang baru diterokainya. Kurang daripada empat bulan berlatih, Zara Aleesya sudah boleh menjadi salah seorang prospek sukan air negara. 

#5 Juara Dalam Pembikinan

Kehadiran Zara Aleesya di pentas antarabangsa mula dirasai apabila berjaya memungut 4 pingat emas dan 1 pingat perak buat negara dalam Kejohanan Finswimming Malaysia yang berlangsung di Seremban awal tahun ini.

Misi Zara Aleesya adalah untuk cuba memungut pingat dalam acara finswimming di Sukan SEA 2023 yang berlangsung di Kemboja, Mei nanti bersama 7 atlet lain – 4 atlet lelaki dan 3 atlet wanita. 

Featured Image: Malaysia Finswimming

Komen