Nama ketua jurulatih Kelantan United FC (KUFC), Thomas Trucha hilang secara tiba-tiba menjelang pertemuan menentang Kuching City FC pada aksi ketujuh Liga Super 2023.
Ketiadaan nama pengendali berusia 51 tahun dari Republik Czech itu dikesan berdasarkan “team list” yang diedarkan oleh penganjur sekitar satu jam dan 15 minit sebelum sepak mula pada malam ini.
Sebaliknya, skuad berjulukan Sang Kijang Hijau ini akan menempuh perlawanan di Stadium Negeri, Kuching dengan bimbingan Penolong Ketua Jurulatih, Nazrulerwan Makmor sambil dibantu Penolong Jurulatih, Tengku Hazman Raja Hassan.
Tinjauan di pelbagai platform media sosial milik KUFC tidak menemukan sebarang makluman terbaru mengenai Trucha samada direhatkan atau sebagainya.
Sebagai rekod, Trucha yang pernah mengendalikan Penang FC pada musim 2021 dan 2022 mula dilantik sebagai Ketua Jurulatih KUFC pada penghujung tahun lalu bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim ini.
Setakat enam perlawanan liga yang telah dilalui, KUFC hanya berhasil melakar satu keputusan seri sekaligus hanya mengutip satu mata dan menghuni tangga tercorot Liga Super.
Featured Image: Kelantan United FC