Skuad bola sepak kebangsaan bawah 23 tahun (B-23) bimbingan E. Elavarasan bakal berhadapan dengan saingan peringkat kumpulan yang sukar di Sukan SEA 2023 Kemboja kelak.
Ini berikutan hasil undian yang dijalankan menyaksikan skuad berjulukan Harimau Muda diundi dalam Kumpulan B bersama-sama juara bertahan, Vietnam dan serta pemenang pingat emas sebanyak 16 kali, Thailand.
Selain itu, Singapura dan Laos turut sama diundi menyertai kumpulan ini.
Sementara itu, hasil undian menyaksikan Kumpulan A disertai oleh tuan rumah bersama-sama juara edisi 1987, Indonesia serta Myanmar, Filipina dan Timor Leste.
Hanya juara dan naib juara bagi setiap kumpulan sahaja layak melangkah ke peringkat seterusnya iaitu separuh akhir.
Skuad Harimau Muda akan memulakan kempen di temasya dwitahun ini dengan bertemu Laos (3 Mei) diikuti Thailand (6 Mei) dan Vietnam (8 Mei) sebelum menutup saingan peringkat kumpulan menentang Singapura (11 Mei).
Untuk makluman semua, skuad Harimau Muda telah diletakkan sasaran oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk mara ke pentas akhir bagi acara bola sepak lelaki.
Sebagai rekod, kali terakhir Malaysia merangkul pingat emas dalam acara ini adalah pada Sukan SEA 2011 yang berlangsung di Indonesia.
Featured Image: Football Association of Malaysia