Ketua jurulatih Kedah Darul Aman FC (Kedah), Nafuzi Zain tidak mahu pasukan bimbingannya menampilkan persembahan luar biasa apabila menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) sahaja.
Sebaliknya, jurulatih berusia 44 tahun ini mahu persembahan berprestasi tinggi itu dipersembahkan ketika menentang mana-mana pasukan. Dengan sikap sedemikian, barulah skuad berjulukan Sang Kenari sebagai pasukan yang terbaik.
Pada masa yang sama, Nafuzi tidak meletakkan kemenangan ke atas Penang FC semalam sebagai suntikan semangat sebelum bertemu JDT kelak. Jelasnya, pertembungan menentang gergasi bola sepak tanah air itu sendiri sudah memberikan suntikan semangat bukan sahaja skuadnya bahkan pasukan lain.
“Saya rasa bertemu JDT mana-mana team pun automatik morale booster (suntikan semangat) tu dengan sendiri akan ada sebab kita bermain dengan team (pasukan) yang bagus,”
“Tapi bagi saya tak perlu kita dengan JDT, kita (beraksi) luar biasa tapi dengan game (perlawanan) lain kita just average (tampilkan persembahan biasa) je,”
“Bagi saya setiap game (perlawanan), JDT atau sesiapa pun, performance (prestasi) kena high (tinggi), barulah kita menjadi top team (pasukan terbaik),” katanya dalam sidang media selepas perlawanan di Stadium Darul Aman.
Semalam, Kedah berhasil melakar kemenangan 1-0 ke atas Penang hasil jaringan Willian Lira pada babak kedua. Kemenangan itu sekaligus melonjakkan kedudukan Kedah ke tangga kedua Liga Super selepas mengharungi tujuh perlawanan.
Untuk perlawanan berikutnya, Sang Kenari akan turun ke Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri untuk bertemu JDT merangkap juara bertahan pada aksi kelapan Liga Super, Ahad nanti.
Mengulas lanjut mengenai pertemuan tersebut, Nafuzi menyifatkan ianya bakal menjadi satu perlawanan yang menarik untuk disaksikan kerana melibatkan dua pasukan teratas Liga Super pada ketika ini.
“Saya berharap kita dapat memberi persembahan yang menarik di JDT, kita tengok nanti macam mana, kita cuba yang terbaik,” tambahnya lagi.
Featured Image: Kedah Darul Aman FC