Ranking FIFA: Hanya 2 Anak Tangga Memisahkan Malaysia & Filipina
April 6, 2023 Hafizuddin Omar

Kemaskini ranking dunia terbaru oleh Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) pada hari ini menyaksikan Malaysia menepati kiraan tidak rasmi oleh orang ramai dengan menghuni tangga ke-138.

Kedudukan itu memperlihatkan peningkatan sebanyak tujuh anak tangga berbanding kemaskini terakhir pada 22 Disember iaitu di kedudukan ke-145 dunia.

Peningkatan itu pastinya disumbangkan menerusi kemenangan ke atas Turkmenistan dan Hong Kong pada rehat antarabangsa FIFA pada Mac lalu.

Menariknya, peningkatan tersebut menjadikan skuad berjulukan Harimau Malaya bimbingan Kim Pan-gon hanya dibezakan dua anak tangga dengan Filipina yang berada di kedudukan ke-136 dunia.

Untuk makluman semua, Filipina atau nama julukannya The Azkals merupakan pasukan ketiga terbaik dari rantau asia tenggara (ASEAN) selepas Vietnam (ke-95) dan Thailand (ke-114) dalam ranking dunia FIFA.

Ini merupakan julung kalinya Malaysia kembali menghuni kedudukan ke-138 dunia selepas 12 tahun. Sebagai rekod, kali terakhir Malaysia berada di tangga ke-138 dunia adalah pada tahun 2011.

Sementara itu, Malaysia berpeluang untuk terus memperbaiki lagi kedudukan ranking dunia pada rehat antarabangsa Jun kelak.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah menjadualkan perlawanan menentang Solomon Islands dan Yaman buat skuad Harimau Malaya pada tempoh berkenaan.

Featured Image: PFA Malaysia | Syamil Rosli

Komen