Lampard Kembali Ke Stamford Bridge Untuk Bangkitkan The Blues
April 6, 2023 Meor Mohamad Amirul

Kancah Liga Perdana Inggeris (EPL) diserikan dengan pengumuman kembalinya legenda Chelsea, Frank Lampard bersama kelab London itu sebagai pengendali sementara sehingga akhir musim ini.

Memetik kenyataan rasmi yang disiarkan menerusi laman sesawang The Blues, kehadiran Lampard adalah sebagai sebahagian daripada pelan jangka pendek bagi menghabiskan musim 2022/23 dengan stabil sementara kelab itu mencari pengurus tetap yang baharu.

Pemilik bersama, Todd Boehly dan Behdad Eghbali berkata: “Kami mempunyai perlawanan yang penting menentang Wolverhampton Wanderers pada Sabtu dan terus menumpukan sepenuh perhatian kami bagi aksi suku akhir Liga Juara-Juara UEFA (UCL) menentang Real Madrid minggu hadapan.”

“Kami akan berikan sokongan penuh buat Frank (Lampard) memandangkan kami menyasarkan hasil terbaik daripada baki perlawanan yang bakal kami hadapi”, tambah mereka dalam kenyataan media yang dikeluarkan sebentar tadi.

Kehadiran Lampard adalah untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan Graham Potter buat sementara waktu setelah jurulatih itu meninggalkan kelab tersebut pada 3 April.

Frank Lampard merupakan legenda bola sepak Chelsea yang telah menjuarai hampir kesemua kejuaraan bersama The Blues sepanjang kariernya. Selain itu, Lampard juga pernah melatih Chelsea dengan mengendalikan 84 perlawanan pada ketika kelab itu dikenakan sekatan perpindahan.

Pengendali yang berusia 44 tahun itu telah melatih kelab Merseyside, Everton dalam saingan Liga Perdana Inggeris bagi musim 2022/23 sebelum melepaskan jawatannya pada 24 Januari setelah berada di zon penyingkiran.

Featured Image: Chelsea Football Club

Komen