Orleans Masters: Perseorangan No.7 Negara Tundukkan Juara Terbuka Swiss
April 7, 2023 Hafizuddin Omar

Perseorangan lelaki No.7 negara, Leong Jun Hao mencipta kejutan dengan menundukkan juara Terbuka Swiss 2023, Koki Watanabe di Pusingan 16 Orleans Masters.

Jun Hao yang berada di ranking ke-78 dunia menumpaskan pemain dari Jepun itu secara “straight set” dengan skor 21-19 dan 21-16 dalam tempoh 50 minit permainan bertempat di Palais des Sports, tengah malam tadi.

Untuk makluman, ini merupakan kali kedua berturut-turut Jun Hao berhasil merakamkan kemenangan ke atas pemain yang berusia 24 tahun terbabit.

Pertemuan julung kalinya berlangsung di Indonesia Masters (Super 100) pada tahun lalu menyaksikan Jun Hao melakar kemenangan menerusi tiga set permainan yang berkesudahan dengan skor 21-17, 15-21 dan 21-18.

Sementara itu, kemenangan ini sudah tentu membolehkannya melangkah ke peringkat suku akhir bagi saingan Jelajah Dunia BWF bertaraf Super 300.

Menantinya di peringkat terbabit adalah pemain muda Denmark yang berusia 21 tahun, Magnus Johannesen.

Sebagai tambahan, Magnus bukanlah lawan yang asing buat Jun Hao. Berdasarkan rekod, mereka sudah pernah berentap sebanyak dua kali sebelum ini dengan pertemuan terakhir yang berlangsung di Madrid Spain Masters baru-baru ini memihak kepada Magnus.

Featured Image: Badminton Association of Thailand

Komen