10 Fakta Perlawanan Melibatkan Johor Darul Ta’zim vs Kedah Darul Aman
April 9, 2023 Meor Mohamad Amirul

Perlawanan antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kedah Darul Aman (Kedah) seringkali menyajikan aksi dan drama baik di dalam mahupun di luar padang.

Menjelang pertemuan melibatkan dua pasukan teratas Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Sukanz tampil menghidangkan 10 fakta perlawanan yang merangkumi rekod semasa pasukan, para pemain serta statistik pertembungan bagi kedua-dua pasukan untuk tatapan pembaca:

#1 Sejarah Pertembungan Sejak 2018

Kedua-dua pasukan telah bertemu sebanyak 14 kali dalam saingan domestik dengan 12 kemenangan berpihak kepada skuad Harimau Selatan manakala Kedah pula hanya menang sekali dan selebihnya berakhir dengan keputusan seri. 

#2 Rekod Semasa JDT

Ketika ini, JDT berada di puncak Liga Super hasil daripada rekod bersih 7 kemenangan menentang Terengganu, Kuala Lumpur City (KL City), Negeri Sembilan, Kelantan, Selangor, Sabah dan yang terbaru Perak. 

#3 Rekod Semasa Kedah

Kedah pula sedang berada di belakang JDT selepas mengumpul 16 mata hasil kemenangan ke atas Perak, Terengganu, Kelantan United, Kuching City dan Penang serta terikat menentang Sri Pahang. Hanya 5 mata memisahkan kedudukan kedua-dua pasukan.

#4 19 Perlawanan Tanpa Kalah di SSI

Stadium yang terletak di Iskandar Puteri itu membantu JDT melakar rekod 19 perlawanan tanpa kalah dalam saingan Liga Super setakat ini. Kali terakhir JDT menanggung kekalahan adalah pada April 2021 di tangan Terengganu.

#5 Pertembungan Terakhir Kedua-dua Pasukan

Aksi terakhir kedua-dua pasukan berakhir dengan kemenangan berpihak kepada JDT yang membenam cabaran Kedah dengan keputusan 4-1 hasil jaringan berganda Bergson dan bekas pemain skuad Sang Kenari, Syafiq Ahmad di SSI pada Oktober 2022.  

#6 Syihan Pertahanan Terakhir Kebal Liga Super 2023

Syihan Hazmi (JDT) merupakan penjaga gol dengan jumlah cleansheet terbanyak – 6 perlawanan tanpa dibolosi. Sementara itu, Kalamullah Al-Hafiz (Kedah) muncul di tempat kedua dengan 3 cleansheet, berkongsi kedudukan dengan Bryan See (Perak). 

#7 Forestieri Kuasai Carta Serangan Liga Super 2023

Fernando Forestieri menjadi watak penting di sebalik kejayaan JDT musim ini dengan mengungguli carta serangan liga; penjaring terbanyak (6 jaringan), bantuan gol (5 assists), jumlah percubaan (25 percubaan) dan jumlah percubaan tepat (13 percubaan), meletakkan bekas pemain Watford itu pada kelasnya yang tersendiri.  

#8 Penjaring Terbanyak KDA

Penyerang Brazil, Willian Lira merupakan penjaring terbanyak pasukan dengan 3 jaringan berjaya dihasilkannya ketika ini. Ironinya, pertahanan skuad Sang Kenari, Akmal Zahir menduduki tempat ke-2 dengan 2 gol bersama Jonathan Balotelli dan Manuel Hidalgo. 

#9 Rekod Disiplin yang Kurang Menyenangkan

Pemain pertahanan Kedah, Wan Amirul Afiq mendahului carta kutipan kad kuning dan kad merah dengan 5 kad kuning dan 2 kad merah telah dikutip setakat ini termasuk pada perlawanan menentang Penang yang menyaksikan pemain tersebut digantung bagi pertemuan dengan JDT.

#10 Potensi Kedudukan Kedua-dua Pasukan Selepas Perlawanan

Pungutan 3 mata pada Ahad akan meletakkan JDT kekal berada dalam di puncak liga dan menjarakkan mata dengan tangga ke-2 liga manakala Kedah berpotensi untuk terkeluar daripada kelompok 4 terbaik liga. 

Sebaliknya, Kedah akan terus berada di kedudukan ke-2 liga sekiranya mencatatkan kemenangan. Namun begitu, ia tidak memberi kesan kepada JDT yang akan terus gah persada liga. 

 

Komen