Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi menterinya, YB Hannah Yeoh mengumumkan beberapa atlet daripada sukan berbasikal, badminton dan terjun mengisi senarai Projek Road To Gold (RTG) – sebuah projek yang menyelaras usaha untuk memburu pingat emas di temasya Sukan Olimpik edisi 2024 dan 2028.
Memetik kenyataan media YB Hannah, seramai 15 atlet daripada sukan berkenaan dipilih berdasarkan dua kriteria; pemenang pingat bagi Sukan Olimpik Tokyo 2020 dan atlet yang berada dalam kedudukan 10 terbaik dunia bagi sukan masing-masing.
15 atlet yang tersenarai dalam program RTG kali ini ialah:
- Datuk Azizulhasni Awang (Berbasikal)
- Shah Firdaus Sahrom (Berbasikal)
- Lee Zii Jia (Badminton)
- Aaron Chia dan Soh Wooi Yik (Badminton)
- Ong Yew Sin dan Teo Ee Yi (Badminton)
- Pearly Tan dan M. Thinaah (Badminton)
- Tan Kian Meng dan Lai Pei Jing (Badminton)
- Shevon Jemie Lai dan Goh Soon Huat (Badminton)
- Datuk Pandalela Rinong (Terjun)
- Dhabitah Sabri (Terjun)
Namun begitu, YB Hannah Yeoh menegaskan akan ada pertambahan atlet dalam senarai tersebut berdasarkan kriteria tambahan iaitu atlet program Podium yang menunjukkan peningkatan pencapaian cemerlang dan wajar dipertimbangkan oleh ahli jawatankuasa RTG.
Pertemuan bersama atlet yang telah disenarai pendek dan jurulatih mereka akan diatur dalam masa sebulan oleh penyelaras, Stuart Ramalingam bersama Ahli Jawatankuasa RTG, Datuk Wira Lee Chong Wei, Datuk Mirnawan Nawawi dan Timbalan Chef de Mission (CDM) Sukan Olimpik Paris 2024, Datuk Nicol Ann David.
Dalam perkembangan yang sama, YB Hannah Yeoh memaklumkan bahawa anggaran perbelanjaan program RTG hanya akan diumumkan setelah pertemuan bersama atlet diatur serta persetujuan kedua-dua pihak dicapai.
Untuk makluman semua, Datuk Azizulhasni merupakan pemenang pingat perak bagi acara Keirin lelaki manakala pasangan Aaron Chia-Soh Wooi Yik merupakan pemenang pingat gangsa bagi acara beregu lelaki badminton pada Sukan Olimpik Tokyo yang lalu.