PFAM, ADMC Meterai MoU – Sedia Akses Rawatan Rehabilitasi Kepada Pemain
April 7, 2023 Hafizuddin Omar

Kini para pemain bola sepak khususnya ahli Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) mendapat akses kepada penjagaan sukan perubatan bertaraf dunia, teknologi termaju, latihan dan sokongan khusus sambil meningkatkan kesedaran tentang kepentingan perubatan sukan dan pemulihan untuk atlet di Ara Damansara Medical Centre (ADMC).

Akses ini hadir selepas PFAM dan ADMC menandatangani satu memorandum persefahaman (MoU) dengan objektif mewujudkan program perubatan dan pemulihan sukan yang komprehensif memenuhi keperluan unik pemain bola sepak Malaysia – dengan tumpuan kepada pencegahan kecederaan, prestasi optimum, kesihatan dan kesejahteraan secara keseluruhan.

Majlis menandatangani MoU itu diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PFAM, Izham Ismail dan CEO ADMC, Miranda Harumal yang berlangsung di Ara Damansara Medical Centre, pagi tadi.

Difahamkan PFAM menggerakkan inisiatif ini bagi membantu para pemain bola sepak profesional untuk mendapatkan rawatan kecederaan sukan yang betul dan selamat melalui rawatan rehabilitasi.

Selain itu, kerjasama ini bertujuan untuk membangunkan inisiatif dan dasar bersama yang berkaitan dengan perubatan dan pemulihan sukan, menggalakkan penyelidikan dan inovasi dalam bidang ini, meningkatkan kesihatan mental dan kesejahteraan pemain bola sepak terutamanya untuk pemain muda dan wanita.

Komen