Orleans Masters: Tang Jie-Ee Wei Bertemu Beregu No.1 Taiwan Di Pentas Akhir
April 8, 2023 Hafizuddin Omar

Beregu campuran No.3 negara, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei sekali lagi menjejaki pentas perlawanan akhir selepas dua bulan. Kali ini, mereka berhasil menempah tiket ke perlawanan akhir Orleans Masters 2023.

Pemain yang berusia 25 dan 22 tahun masing-masing ini mara ke perlawanan akhir terbabit selepas mengejutkan pasangan No.14 dunia dari Indonesia iaitu Rehan Naufal dan Lisa Ayu di peringkat separuh akhir, sebentar tadi.

Dalam pertarungan tersebut, Tang Jie-Ee Wei mengatasi beregu terbabit dengan secara “straight set” dengan skor 21-10 dan 21-16 dalam tempoh 34 minit permainan.

Sebagai rekod, ini merupakan kemenangan kedua berturut-turut dilakar Tang Jie-Ee Wei bertemu lawan yang sama di pentas antarabangsa.

Sementara itu, kemenangan ini sekaligus membawa mereka bertemu beregu No.1 Taiwan, Ye Hong Wei dan Lee Chia Hsin bagi merebut gelaran juara bagi kejohanan Jelajah Dunia BWF bertaraf Super 300 ini.

Sebagai tambahan, kali terakhir Tang Jie-Ee Wei berhasil melangkah ke perlawanan akhir adalah di Cabaran Antarabangsa Iran Fajr sekitar awal Februari lalu.

Kejohanan itu berjaya ditutup Tang Jie-Ee Wei dengan merangkul kejuaraan selepas berhasil menundukkan beregu senegara, Hoo Pang Ron dan Teoh Mei Xing secara “straight set” dengan skor 21-19 dan 21-15.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

Komen