Son Tempa Sejarah Pemain Asia Pertama Cetak 100 Gol Di EPL
April 9, 2023 Hafizuddin Omar

Pertembungan antara Tottenham Hotspur dan Brighton & Hove Albion pada aksi ke-30 Liga Perdana Inggeris (EPL) menyaksikan satu sejarah dan rekod baharu ditempa oleh pemain asia.

Jaringan oleh penyerang sayap Spurs serta skuad kebangsaan Korea, Son Heung-min pada minit ke-10 telah mengangkatnya menjadi pemain asia pertama mencetak 100 gol dalam kancah bola sepak tertinggi di England. 

Gol ke-100 oleh pemain berusia 30 tahun itu turut terhasil dengan penuh bergaya menerusi satu sepakan lencong melalui kaki kanannya yang menuju ke bahagian bucu gol dari luar kotak – menumpaskan penjaga lawan, Jason Steele.

Selain itu, jaringan itu juga menjadikan bekas pemain Hamburg dan Bayer Leverkusen ini sebagai pemain ke-34 yang mempunyai 100 gol dalam sejarah EPL.

Sementara itu, gol tersebut merupakan yang ke-142 dari Son sejak menyertai Spurs pada tahun 2015. Jumlah jaringan terbabit meletakkannya sebagai penjaring ketujuh terbanyak Tottenham Hotspur sepanjang zaman.

Untuk makluman, pemain asia kedua yang memiliki jaringan terbanyak dalam kancah EPL adalah bekas bintang Manchester United, Park Ji-sung (19 gol) sambil diikuti oleh Ki Sung-yeung (15 gol) ditempat ketiga.

Menariknya, kedua-dua pemain ini turut berkongsi kewarganegaraan yang sama seperti Son iaitu Republik Korea. 

Featured Image: Tottenham Hotspur

Komen