Kevin De Bruyne Muncul Pemain Kelima Cipta 100 ‘Assist’ Di EPL
April 9, 2023 Hafizuddin Omar

Pemain tengah Manchester City (Man City), Kevin De Bruyne yang terkenal dengan kemampuannya untuk menghantar dan melorongkan bola dengan kreativiti tinggi kepada rakan sepasukan memahat satu pencapaian baharu dalam kariernya.

Ketika turun mewakili kelabnya menentang Southampton, pemain skuad kebangsaan Belgium ini muncul sebagai pemain kelima mencetak 100 ‘assist’ (bantuan gol) dalam sejarah kancah Liga Perdana Inggeris (EPL).

Rekod itu menjadi miliknya apabila bola lambungannya dari luar kotak penalti berjaya ditanduk masuk ke dalam gawang oleh Erling Haaland untuk memberikan gol pembukaan buat skuad The Cityzen pada penghujung babak pertama.

Menariknya, hanya satu daripada bantuan gol tersebut dilakukannya ketika beraksi bersama Chelsea suatu masa dahulu. Manakala 99 yang lainnya diciptanya bersama Man City.

Bukan itu sahaja, De Bruyne turut muncul pemain terpantas meraih 100 bantuan gol tersebut dengan hanya memerlukan 237 perlawanan. Ianya mengatasi rekod dipegang Cesc Fabregas yang perlu beraksi 293 perlawanan terlebih dahulu sebelum mencetak 100 bantuan gol.

Sementara itu, dengan saingan EPL yang berbaki sekitar 11 perlawanan sahaja lagi, De Bruyne berkemungkinan besar mampu meletakkan namanya sebagai pencipta ‘assist’ ketiga atau kedua terbanyak sepanjang zaman dengan mengatasi rekod Frank Lampard (102), Wayne Rooney (103) dan Cesc Fabregas (111).

Untuk pengetahuan semua, ‘assist’ terbanyak dalam sejarah EPL dipegang oleh pemain legenda Manchester United, Ryan Giggs dengan rekod 162 bantuan gol.

Featured Image: Twitter Kevin De Bruyne & Manchester City

Komen