Juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) melebarkan rekod kemenangan dalam saingan Liga Super 2023 kepada lapan perlawanan berturut-turut.
Lakaran kemenangan oleh skuad berjulukan Harimau Selatan kendalian Esteban Solari itu hadir selepas berkenduri gol ke atas Kedah Darul Aman FC (Kedah) di Stadium Sultan Ibrahim, sebentar tadi.
JDT menutup perlawanan tersebut dengan kemenangan besar 6-0 hasil jaringan Fernando Forestieri (23’), Feroz Baharudin (48’), Oscar Arribas (50’), Bergson (53’), Arif Aiman (76’) dan Leandro Velazquez (86’).
Selain lapan kemenangan berturut-turut bagi musim ini, keputusan pada hari ini juga menjadikan JDT kekal tidak mengalami kekalahan dalam 42 perlawanan Liga Super sejak April 2021.
Sementara itu, bagi Kedah, ini merupakan kekalahan terbesarnya sejak dikendalikan oleh ketua jurulatih baharu, Nafuzi Zain.
Dengan kemenangan ini, JDT kekal di puncak Liga Super dengan 24 mata manakal Kedah pula tidak dapat mempertahankan kedudukan keduanya yang dihuni sebelum ini.
Untuk perlawanan seterusnya, JDT akan bertemu PDRM FC di tempat lawan dan Kedah akan melayani kunjungan Kuala Lumpur City FC (KL City) di Stadium Darul Aman bagi aksi kesembilan Liga Super.
Featured Image: Malaysian Football League