Sukan SEA: Hamidin Tak Anggap Harimau Muda Berada Dalam Kumpulan Maut
April 10, 2023 Hafizuddin Omar

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Haji Hamidin Mohd Amin tidak menganggap skuad bola sepak kebangsaan bawah 22 tahun (B-22) berada dalam kumpulan maut pada temasya Sukan SEA 2023 di Kemboja.

Berdasarkan undian pada minggu lalu, skuad negara yang berjulukan Harimau Muda diletakkan dalam Kumpulan B bersama-sama juara bertahan, Vietnam dan pemenang pingat emas sebanyak 16 kali, Thailand serta Singapura dan Laos.

Sebaliknya, Hamidin yang turut berperanan sebagai Ahli Majlis FIFA berpandangan hasil undian itu sebagai yang terbaik buat skuad bimbingan E. Elavarasan mencapai sasaran yang ditetapkan FAM untuk mara ke perlawanan akhir.

“Undian Sukan SEA ni ramai orang kata kumpulan maut, sebenarnya tidak,

“Saya sudah bermesyuarat dengan Elavarasan, ini merupakan undian terbaik, biar kita bertemu pasukan yang kuat dan kita akan mara cepat ke separuh akhir dan akhir,”

“Saya dah tanamkan pada pemain dan juga Elavarasan, kita jumpa Thailand dan Vietnam awal lagi senang untuk kita buat, kalau ikut taktikal,” katanya semasa ditemui oleh para pengamal media, baru-baru ini.

Hamidin menambah, situasi ini hampir sama terjadi semasa Datuk Ong Kim Swee menjadi ketua jurulatih Harimau Muda bagi menghadapi temasya Sukan SEA 2011.

Pada ketika itu Malaysia diundi bersama tuan rumah, Indonesia serta Thailand, Singapura dan Kemboja turut dianggap sebagai kumpulan maut.

Bagaimanapun, satu kejutan berhasil dilakar skuad Kim Swee pada ketika dengan muncul juara kumpulan sebelum berhasil merangkul pingat emas dengan menumpaskan skuad Garuda Muda dalam perlawanan akhir.

Untuk makluman, pingat emas itu juga menjadi yang terakhir dimenangi oleh skuad Harimau Muda dalam temasya Sukan SEA.

Featured Image:  Football Association of Malaysia

Komen