Saya Sedang Menilai Pemain Saya Untuk Bentuk Pasukan Lebih Baik – Nafuzi
April 10, 2023 Meor Mohamad Amirul

Pengendali Kedah Darul Aman (Kedah) FC, Nafuzi Zain jadikan perlawanan menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) sebagai platform untuk menilai pemain dalam usahanya membentuk pasukan yang lebih kuat. 

Jelas Nafuzi, para pemain sedang dinilai dari segi keberanian dan kemampuan mereka untuk bermain di bawah tekanan menentang pasukan yang lebih berkualiti seperti JDT.

“Kita boleh nampak bagaimana player (pemain) bermain dengan team (pasukan) yang baik, level (tahap) tinggi seperti JDT dan di situ kita boleh nampak karekter player (pemain) yang sebenarnya, berani atau tidak berani.”

“Seorang pemain yang bagus itu boleh bermain dengan bagus di bawah tekanan. Kalau player (pemain) tidak boleh bermain di bawah tekanan, susah untuk kita jadi team (pasukan) yang bagus.”, ujar Nafuzi dalam sidang media selepas perlawanan menentang JDT. 

Pengendali berusia 44 tahun itu juga tidak mahu membandingkan rekod lampau bersama Terengganu yang berjaya menang sekali menentang JDT di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) memandangkan Kedah pasukannya yang baharu dan sedang dalam pembentukan. 

Beraksi di SSI, Kedah menjadi mangsa terbaru JDT dibenam dengan jaringan besar. Skuad berjulukan Sang Kenari tumpas dengan enam gol tanpa balas menerusi jaringan Fernando Forestieri, Feroz Baharudin, Oscar Arribas, Bergson, Arif Aiman dan Leandro Velazquez.

Kekalahan ini menyaksikan skuad kendalian Nafuzi dipintas Selangor FC di tangga kedua liga. Skuad Red Giants memintas Kedah selepas mencatatkan kemenangan ke atas Kelantan FC kendalian Frank Bernhardt yang dilantik semalam. 

Featured Image: Kedah Darul Aman FC

 

Komen