Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) belum memutuskan secara rasmi venue bagi perlawanan melibatkan skuad Harimau Malaya semasa rehat antarabangsa FIFA pada bulan Jun nanti.
Bagaimanapun, Presiden FAM, Datuk Haji Hamidin Mohd. Amin mendedahkan perlawanan Harimau Malaya pada waktu itu berkemungkinan besar akan berlangsung di dua venue iaitu di negeri Johor dan Terengganu.
Ini selepas beliau mendapat tawaran daripada Tunku Mahkota Johor (TMJ), DYAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim untuk mengadakan perlawanan di sana sama seperti bulan Mac lalu selain telah berhubung dengan Menteri Besar Terengganu, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.
“Setakat ini, Tunku Mahkota Johor telah offer (tawarkan) di Johor, saya berkemungkinan nak pergi juga ke Terengganu, saya pun sudah berhubung dengan Menteri Besar,”
“Ada kemungkinan satu game (perlawanan) di Johor, dan satu di Terengganu, kerana akan datang kita nak pergi ke Sabah dan Penang, kita bagi ruang untuk yang lain pergi (menyaksikan skuad Harimau Malaya),” katanya ketika ditemui para pengamal media, baru-baru ini.
Untuk makluman semua, pada bulan Jun kelak, Harimau Malaya bimbingan Kim Pan-gon akan melayani kunjungan Solomon Islands dan Yaman yang kini menghuni ranking ke-134 dan ke-157 dunia masing-masing.
Sebagai tambahan, Harimau Malaya terpaksa beraksi di venue selain Rumah Harimau Malaya, Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) ekoran sedang menjalani proses penukaran rumput kepada jenis zeon zoysia sama seperti digunakan di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri.
Featured Image: Bahagian Infrastruktur Dan Kemudahan, Majlis Sukan Negeri Terengganu