BAC 2023: Zii Jia, Tze Yong Diundi Menentang Pemain No.1 & No.2 Hong Kong
April 11, 2023 Hafizuddin Omar

Juara bertahan bagi kategori perseorangan lelaki Kejohanan Badminton Asia (BAC), Lee Zii Jia akan memulakan kempen untuk mempertahankan kejuaraan pada edisi kali ini dengan menentang pemain No.1 Hong Kong, Ng Ka Long Angus.

Lawan buat Zii Jia yang turut diletakkan sebagai pilihan ketiga kejohanan pada Pusingan 32 terbabit diketahui selepas majlis undian yang berlangsung pada hari ini.

Angus yang masih segar dengan kejayaan menjuarai Terbuka Jerman pada awal Mac lalu mempunyai rekod yang baik apabila bertemu pemain No.1 negara. 

Berdasarkan rekod, mereka pernah berentap sebanyak tiga kali dan dua daripadanya berpihak kepada Angus. Ini termasuk pertembungan terakhir mereka yang berlangsung di kejohanan Indonesia Masters pada penghujung Januari lalu.

Sementara itu, perseorangan No.2 negara, Ng Tze Yong pula akan membuat perhitungan dengan pemain No.2 Hong Kong, Lee Cheuk Yiu di peringkat yang sama.

Pertemuan ini bakal menjadi yang kedua bagi Tze Yong dan Cheuk Yiu di pentas antarabangsa. Untuk makluman, pertembungan melibatkan kedua-dua pemain yang berlangsung di Terbuka Singapura pada tahun lalu berpihak kepada Tze Yong.

Sebagai tambahan, kejohanan yang setaraf dengan Jelajah Dunia BWF Super 1000 ini akan berlangsung bermula 25 hingga 30 April bertempat di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Komen