Ranking BWF: Tang Jie-Ee Wei Hampiri Kelompok 20 Terbaik Dunia
April 11, 2023 Hafizuddin Omar

Gandingan Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei yang menjuarai saingan Orleans Masters pada Ahad lalu kini semakin menghampiri kelompok 20 pasangan beregu campuran terbaik dunia.

Ini selepas Persekutuan Badminton Dunia (BWF) melakukan kemaskini terbaru pada hari ini yang menyaksikan kedudukan Tang Jie-Ee Wei meningkat sebanyak empat anak tangga berbanding minggu lalu.

Ianya sekaligus meletakkan gandingan pemain berusia 25 dan 22 tahun masing-masing itu di kedudukan ke-22 dunia dengan pungutan 44,513 mata.

Kedudukan itu juga mengukuhkan lagi kedudukan mereka sebagai beregu campuran No.3 tanah air selepas gandingan Goh Soon Huat-Shevon Jemie (No.8 dunia) dan Tang Kian Meng-Lai Pei Jing (No.13 dunia).

Untuk makluman, pungutan mata terbabit hanya dibezakan sebanyak 2,241 mata dan 1,194 mata dengan pasangan No.20 (Tang Chun Man-Tse Ying Suet, Hong Kong) dan No.21 (Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin, China) masing-masing.

Sebagai rekod, Tang Jie-Ee Wei yang mula bergandingan sejak awal Disember tahun lalu bermula dengan ranking ke-272 dunia sebelum meraih peningkatan demi peningkatan terutamanya selepas muncul naib juara Cabaran Antarabangsa Petronas, menjuarai Cabaran Antarabangsa Bangladesh, Cabaran Antarabangsa Iran Fajr serta Orleans Masters.

Komen