Besok Kahwin, Nak Ada Anak Pun Ambil Masa Juga – Lim Teong Kim
April 11, 2023 Hafizuddin Omar

Ketua jurulatih Perak FC, Datuk Lim Teong Kim meminta para penyokong skuad berjulukan The Bos Gaurus (TBG) agar bersabar menantikan kemenangan daripada anak-anak buahnya.

Teong Kim yang pernah mengendalikan skuad remaja Bayern Munich dan Akademi Mokhtar Dahari (AMD) menjelaskan skuad Perak yang dibarisi rata-rata pemain muda pada ketika ini memerlukan masa. Tambahan pula, skuad ini baru sahaja berlatih bersama antara empat hingga lima bulan sahaja.

Pada masa yang sama, jurulatih berusia 59 tahun ini mengakui jangkaan tinggi daripada para peminat yang mahu kemenangan namun tiada apa yang dapat dilakukannya selain mengharapkan agar mereka lebih bersabar.

“Memang betul (mereka kurang sabar), tapi apa saya boleh buat, saya buat apa yang terbaik untuk pemain-pemain kami, untuk kelab kami saja, saya minta peminat-peminat bola sepak Perak bersabarlah,

“Saya tanam durian semalam, dia akan berbuah dalam (masa) tujuh tahun,

“You kalau ada anak, besok kahwin, nak ada anak pun ambil masa juga, jadi, semua perlu masa, itu sahaja,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Semalam, Perak tumpas 0-1 di tangan Kuala Lumpur City FC (KL City) sekaligus mengalami kekalahan keempat berturut-turut dalam saingan Liga Super selepas menang ke atas Kuching City FC sekitar pertengahan Mac lalu.

Ketika ini, mereka berada di tangga ke-11 dengan lima mata hasil daripada satu kemenangan dan dua seri daripada lapan perlawanan.

Disebalik kekalahan terbabit, Teong Kim tetap memberi pujian kepada para pemainnya yang menunjukkan “winning mentality” yang tinggi di atas padang, semangat juang yang tinggi dan tidak mudah menyerah kalah.

Komen