Artikel

Lewandowski Impi Beraksi Bersama Messi

Robert Lewandowski mengimpikan untuk beraksi bersama legenda Argentina, Lionel Messi sekiranya pemain berusia 36 tahun itu kembali ke FC Barcelona pada jendela perpindahan akan datang. 

Menurut laporan GOAL yang memetik Mundo Deportivo, penyerang sensasi Barcelona tersebut turut merasakan kelab Catalan itu sentiasa menjadi tempat terbaik untuk Messi dan pemain itu merupakan sebahagian daripada kelab itu. 

“Messi milik Barcelona dan jika dia kembali, ia akan menjadi sesuatu yang luar biasa. Kami tahu bahawa tempatnya di sini. Saya tidak tahu apa yang akan berlaku, tetapi saya harap musim depan kami boleh bermain bersama,” ujar Lewandowski kepada wartawan akhbar Sepanyol tersebut.

Ura-ura tentang kembalinya ikon bola sepak dunia tersebut bersama kelab itu tercetus apabila Naib Presiden Barcelona, Rafa Yuste mengakui sedang mengadakan perbincangan bersama bapa Messi. 

Selain itu, Messi juga dikhabarkan menerima pelbagai tawaran termasuk daripada kelab Arab Saudi, Al-Hilal.  Hal ini berikutan daripada masa depannya yang samar bersama Paris Saint-Germain selepas kontraknya berakhir pada penghujung musim ini. 

Bagaimanapun, keadaan tampak sukar buat Barcelona untuk Messi kembali ke kelab tersebut berikutan peraturan kewangan LaLiga. Sebelum ini, peraturan yang sama memaksa legenda Argentina itu keluar daripada kelab tersebut dan berhijrah ke Paris pada musim 2021/22.

komen