Bekas Penjaga Gol Man Utd Keluar Dari Persaraan Bantu Kelab Ryan Reynolds
April 12, 2023 Meor Mohamad Amirul

Bekas penjaga gol Manchester United (Man Utd), Ben Foster keluar dari persaraan bagi membantu kelab milik bintang Hollywood, Ryan Reynolds dan Rob McElhenney iaitu Wrexham AFC. Penjaga gol berusia 40 tahun itu turun beraksi dalam perlawanan perebutan takhta Liga Nasional Vanarama menentang Notts County. 

Dalam perlawanan tersebut, Foster telah menjadi wira buat The Red Dragons apabila berjaya menyelamatkan sepakan penalti Cedwyn Scott pada minit ke-96 sekaligus memastikan kemenangan dengan keputusan 3-2.

Menurut laporan BBC, Foster mengatakan aksi penyelamatan tersebut merupakan pengalaman pertama dalam tempoh 40 tahun hidupnya. 

“Saya tidak pernah melakukannya sebelum ini. Saya tidak pernah menyelamatkan penalti saat akhir untuk memenangi perlawanan. Jadi itu hanya membuktikan keputusan saya tepat untuk keluar (dari persaraan) dan terus bermain.” ujar Foster kepada wartawan.

Bekas penjaga gol England itu mengumumkan persaraannya pada September 2022 menerusi saluran Youtube miliknya, The Cycling GK.  Pengumuman itu hadir selepas pemain itu tidak lagi bersama Watford dan menolak tawaran Newcastle United. 

Bagaimanapun, Foster keluar daripada persaraannya pada Mac 2023 bagi menyertai Wrexham, kelab yang pernah disertainya secara pinjaman daripada Stoke City pada musim 2005/06 dalam misi memenangi liga bersama pasukan itu. 

Sebagai tambahan, Wrexham kini berada di puncak liga dengan 103 mata. Mereka mendahului sebanyak 3 mata dengan berkelebihan 1 perlawanan berbanding penghuni tangga kedua liga, Notts County.

Untuk makluman, hanya juara Liga Nasional Vanarama akan mendapat slot automatik ke EFL League Two. Manakala, pasukan di tangga kedua hingga ketujuh liga akan beraksi dalam perlawanan play-off bagi mengejar satu lagi slot promosi ke liga divisyen keempat England. 

Featured Image: Wrexham AFC

Komen