Piala Sudirman 2023: Malaysia Hantar Skuad Terkuat, Gabung Pemain BAM & ‘Independent’
April 12, 2023 Hafizuddin Omar

Malaysia membariskan skuad terkuat yang terdiri daripada gabungan pemain-pemain di bawah naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) serta bebas (independent) bagi menghadapi kejohanan Piala Sudirman 2023.

Ini berbeza dengan pendekatan digunakan oleh Malaysia dalam kejohanan edisi lalu yang hanya menyenaraikan pemain-pemain di bawah naungan BAM dengan mengkhususkan kepada pemain-pemain muda. 

Menerusi satu sidang media yang diadakan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Dr. Tim Jones merangkap Pengarah Prestasi Tinggi mengumumkan pemain skuad Malaysia daripada kalangan lelaki terdiri daripada Lee Zii Jia, Ng Tze Yong, Aaron Chia, Soh Wooi Yik, Teo Ee Yi, Ong Yew Sin, Goh Soon Huat, Tan Kian Meng, Chen Tang Jie dan Hoo Pang Ron.

Manakala barisan pemain wanita pula terdiri daripada Goh Jin Wei, Letshanaa Karupathevan, Pearly Tan, Thinaah Muralitharan, Go Pei Kee, Valeree Siow, Shevon Lai, Lai Pei Jin, Toh Ee Wei dan Teoh Mei Xing.

Barisan pemain ini akan membawa cabaran Malaysia bermula dengan melepasi saingan Kumpulan C yang merangkumi Taiwan, India dan Australia untuk menempah tiket kemaraan ke peringkat kalah mati.

Sebagai tambahan, kejohanan badminton berpasukan campuran dunia ini akan berlangsung bermula 14 hingga 21 Mei bertempat di Suzhou, China.

Komen