Haaland Atasi Rekod Salah & Van Nistelrooy – Jaring 45 Gol Semusim
April 12, 2023 Meor Mohamad Amirul

Erling Haaland terus menggegar arena bola sepak eropah apabila menjaringkan gol ke-45 pada musim ini. Hal ini sekaligus memecahkan rekod jaringan terbanyak merentasi pelbagai kejohanan oleh pemain Liga Perdana Inggeris dalam tempoh semusim. 

Penyerang sensasi Manchester City itu telah mengatasi rekod 44 gol yang dipegang Ruud Van Nistelrooy dan Mohamed Salah pada musim 2002/03 dan 2017/18 masing-masing.

Lebih menakjubkan, hanya 39 perlawanan sahaja diperlukan Haaland untuk memecahkan rekod dua pemain tersebut. Sebagai perbandingan, Van Nistelrooy dan Salah memerlukan 52 perlawanan untuk mencapai angka 44 jaringan sebelum ini.

Jaringan ke-45 peribadinya terhasil menerusi gol ketiga The Citizen dalam aksi menentang Bayern Munich pada suku akhir pertama Liga Juara-Juara UEFA yang menyaksikan mereka menang 3-0. 

Untuk pengetahuan umum, nama penyerang Norway itu mula disebut-sebut selepas meledak 9 gol menentang Honduras yang menyaksikan mereka menang 12-0 dalam aksi Piala Dunia Bawah 20 Tahun (B-20).

Sementara itu, kehadiran Haaland di England terus mencuri perhatian dengan jumlah jaringannya yang kerap memecahkan rekod liga serta kelab pada usia 23 tahun. 

Anak kepada Alfie Haaland itu muncul pemain pertama yang menjaringkan 9 gol daripada 5 penampilan pertamanya dalam saingan Liga Perdana Inggeris 2023/24. 

Selain itu, Haaland turut menjaringkan hatrik tiga kali berturut-turut di laman sendiri, Stadium Etihad serta menjadi penjaring terbanyak kelab dalam tempoh semusim mengatasi rekod berusia 94 tahun milik Tommy Johnson (39 gol). 

Featured Image: Manchester City FC

Komen