Road To Gold: BAM Usul Lantik DLCW Pengurus Pasukan Badminton
Meor Mohamad Amirul
Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengusulkan cadangan untuk melantik bekas jaguh perseorangan lelaki negara, Datuk Lee Chong Wei selaku pengurus pasukan badminton negara bagi program Road To Gold (RTG) ke Sukan Olimpik Paris 2024.
Menerusi laman Facebook BAM, Presiden BAM, Tan Sri Dato’ Sri (Dr.) Norza Zakaria menjelaskan Chong Wei merupakan calon terbaik untuk memenuhi amanah tersebut berdasarkan pengalaman dan pengaruh yang dimiliki bekas atlet berusia 41 tahun itu.
“Chong Wei ialah seorang legenda dan merupakan antara pemain terhebat di dunia. Oleh itu, beliau adalah calon terbaik untuk memikul tugas penting ini. Dia mempunyai banyak pengetahuan, mempunyai pengalaman meluas dari zaman bermainnya, mengetahui keperluan pemain masa kini dan dihormati oleh semua pemain,” ujar Norza.
OFFICIAL: CHONG WEI PROPOSED AS TEAM MANAGER FOR RTG BADMINTON TEAM
BAM will propose to the RTG Committee, the appointment of Datuk Wira @LeeChongWei the former world No. 1 & three-time Olympics medallist, as the Team Manager for the RTG Badminton Team in Paris 2024. pic.twitter.com/o9hD52QVD8
— BAM (@BA_Malaysia) April 12, 2023
Manakala, Chong Wei sedar akan tanggungjawab besar bakal digalas sekiranya dilantik selaku pengurus pasukan. Pada masa yang sama, beliau teruja dan sedia bantu Malaysia memenangi pingat emas pertama Olimpik.
“Walaupun saya sudah menjadi sebahagian daripada Jawatankuasa RTG, jika dilantik sebagai Pengurus Pasukan Badminton RTG, ini bermakna tumpuan yang lebih tinggi terhadap badminton dan peranan yang lebih praktikal dari segi membantu mereka dalam persediaan mereka.”
“Ini adalah tanggungjawab yang besar, tetapi jika dilantik, saya bersedia untuk memikulnya dan memainkan peranan saya untuk membantu Malaysia. Memenangi pingat emas Olimpik pertama kami telah menjadi agenda negara, dan ia menjadi harapan setiap rakyat Malaysia.”, jelas Chong Wei.
Umum mengetahui bahawa Chong Wei bukan nama asing dalam sukan badminton dunia dengan berjaya meraih pingat perak Sukan Olimpik sebanyak tiga kali selain memegang rekod pemain No.1 paling lama di dunia iaitu 348 minggu.
Selain Chong Wei, bekas atlet yang terlibat dalam program RTG pada kali ini ialah Datuk Mirnawan Nawawi, legenda hoki negara selain daripada Timbalan Chef de Mission, Datuk Nicol Ann David.
Featured Image: Badminton Association of Malaysia