Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) kini telah berjaya memiliki bangunan pentadbiran tersendiri dengan dinamakan sebagai Wisma KFA-House of Kedah Football.
Perkembangan itu hadir menerusi Presiden KFA, YAB Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Noor merangkap Menteri Besar Kedah sepertimana dimaklumkan menerusi pelbagai platform media sosial badan induk berkenaan.
Hasrat dan impian untuk melihat KFA memiliki bangunan pentadbirannya yang tersendiri itu pernah disuarakan oleh Sanusi melalui ucapan kongres terdahulu.
WISMA KFA : House of Kedah Football
"Dengan penuh rasa kesyukuran, ingin saya umumkan bahawa bangunan pentadbiran KFA yang bakal dinamakan Wisma KFA-House of Kedah Football telah berjaya dimilki. pic.twitter.com/AOIXI4JqCB
— Official_KedahFA (@official_kfa) April 11, 2023
Kemudiannya, ianya dikembangkan melalui penganjuran Malam KFA 2022 pada Mei tahun lalu di The Danna, Langkawi yang bertujuan mengumpul dana bagi mempersiapkan bangunan pentadbiran tersebut selain mengeratkan lagi jalinan hubungan serta sokongan daripada semua pihak khususnya syarikat-syarikat korporat dan swasta.
Bagaimanapun, lokasi Wisma KFA-House of Kedah Football tidak didedahkan lagi kepada umum.
Difahamkan, satu majlis perasmian akan diadakan kelak yang merupakan naratif kepada sambutan ulangtahun ke-100 tertubuhnya KFA pada tahun 1924.
Dalam perkembangan lain, Sanusi kekal sebagai Presiden KFA bagi penggal 2022-2026 setelah menang tanpa bertanding dalam Kongres Tahunan KFA Ke-74 pada minggu lalu.
Featured Image: FA Kedah