Artikel

10 Perkara Yang Perlu Anda Tahu Mengenai Siri Antarabangsa Belanda

Siri Antarabangsa Belanda merupakan salah satu kejohanan Siri Antarabangsa BWF yang telah mula dipertandingkan sejak 2000 anjuran VELO Badminton dan diselia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) serta menjadi sebahagian daripada Sirkit Badminton Eropah.

Menjelang kejohanan yang berlangsung di Wateringen bakal bermula hari ini, Sukanz hidangkan 10 perkara yang perlu anda ketahui mengenai kejohanan ini merangkumi informasi berkenaan kejohanan termasuk 3 wakil Malaysia yang bakal beraksi untuk tatapan anda:

#1 Taraf Kejohanan

Siri Antarabangsa Belanda merupakan salah satu kejohanan bertaraf Tier 2 dalam Gred 3 di bawah seliaan Persekutuan Badminton Dunia (BWF). 

#2 Perbezaan Kejohanan Badminton di Belanda

Siri Antarabangsa Belanda dan Terbuka Belanda berada pada gred yang sama tetapi menawarkan hadiah keseluruhan yang berbeza memandangkan Terbuka Belanda merupakan salah satu kejohanan Cabaran Antarabangsa yang berada pada Tier 1 dalam Gred 3. 

#3 Jumlah Wakil Malaysia

Seramai 3 wakil Malaysia menyertai kejohanan kali ini dengan pemain perseorangan wanita negara, S. Kisona diletakkan sebagai pilihan pertama kejohanan manakala dua lagi pemain perseorangan lelaki, Samuel Lee dan Sean Ngu Ze Xi beraksi di peringkat kelayakan.

#4 Hadiah Keseluruhan

Hadiah keseluruhan Siri Antarabangsa Belanda 2023 bernilai AS$10,000 atau €9,345 (bersamaan ±RM44,020), sama seperti edisi yang sebelumnya. 

#5 Hadiah Bagi Setiap Kategori

Juara kategori perseorangan Siri Antarabangsa Belanda 2023 akan membawa pulang hadiah wang tunai bernilai €935 (bersamaan ±RM4,526) manakala juara kategori beregu pula meraih €1,120 (bersamaan ±RM5,422) bagi setiap pasangan.

#6 Kutipan Mata Ranking

Juara setiap kategori Siri Antarabangsa Belanda 2023 akan meraih 2,500 mata manakala naib juara akan mendapat 2,130 mata secara individu bagi pengiraan ranking dunia.

#7 Lokasi Kejohanan

Sejak penganjuran pertama Siri Antarabangsa Belanda pada tahun 2000, Wateringen telah menjadi lokasi kejohanan yang mana terletaknya gelanggang dan bangunan kelab penganjur, VELO Badminton.

#8 Anugerah Khas

Anugerah Erik Meijs telah diperkenalkan dalam Siri Antarabangsa Belanda pada tahun 2018 bagi menghargai pemain yang tinggi semangat kesukanannya. Antara yang pernah memenangi anugerah ini ialah Tobias Penty (England), Mathias Thyrri (Denmark), Jenjira Stadelmann (Switzerland).

#9 Tiga Wakil Malaysia Muncul Juara

Seramai 3 wakil Malaysia pernah memenangi kategori masing-masing sepanjang penganjuran Siri Antarabangsa Belanda iaitu perseorangan lelaki, Cheam June Wei (2018), perseorangan wanita, Myisha Mohd Khairul (2022) dan beregu lelaki, Nelson Heg-Teo Ee Yi (2012). 

#10 Denmark Raja Siri Antarabangsa Belanda

Wakil Denmark paling banyak muncul juara di Siri Antarabangsa Belanda dengan rekod keseluruhan 32 wakil setakat ini – perseorangan lelaki (7), perseorangan wanita (4), beregu wanita (3), beregu campuran (8) dan beregu lelaki (9+1).

komen