EURO 2028: UK, Ireland Hantar Bidaan Akhir Berserta Senarai 10 Venue Pertandingan
April 13, 2023 Hafizuddin Omar

Kejohanan bola sepak benua eropah, EURO 2028 berkemungkinan besar akan dihoskan oleh gabungan empat buah negara United Kingdom (UK) iaitu England, Scotland, Wales, Northern Ireland bersama-sama Ireland.

Ini selepas Persatuan Bola Sepak England (The FA) mengesahkan kelima-lima negara berkenaan telah menghantar bidaan akhir bagi menganjurkan kejohanan tersebut kepada Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah (UEFA), semalam.

Susulan itu, mereka turut mengusulkan sepuluh buah stadium dari sembilan buah bandar untuk dijadikan sebagai venue pertandingan iaitu:

  1. London – Wembley Stadium (90,652)
  2. Cardiff – National Stadium of Wales (73,952)
  3. London – Tottenham Hotspur Stadium (62,322)
  4. Manchester – City of Manchester Stadium (61,000)
  5. Liverpool – Everton Stadium (52,679)
  6. Newcastle – St James’ Park (52,305)
  7. Birmingham – Villa Park (52,190)
  8. Glasgow – Hampden Park (52,032)
  9. Dublin – Dublin Arena (51,711)
  10. Belfast – Casement Park (34,500)

Untuk makluman semua, kelima-lima negara ini telah mencapai kesepakatan dan menghantar pelawaan tunjuk minat (Expression Of Interest) kepada UEFA bagi membida penganjuran EURO 2028 pada Mac lalu.

Sementara itu, UEFA mengesahkan hanya dua sahaja pembida bagi saingan EURO 2028 dengan bidaan dari UK & Ireland ini akan dicabar oleh Turkiye.

Sementara itu, bagi EURO 2032 pula, ianya turut dibida oleh Turkiye serta Itali.

Dalam kenyataannya, pihak pentadbiran UEFA akan meneliti setiap bidaan yang dihantar sebelum Jawatankuasa Eksekutif UEFA melakukan undian untuk memilih negara hos bagi kedua-dua edisi EURO tersebut pada Oktober kelak.

Featured Image: The FA

Komen