Saingan Liga Super akan berehat seketika bagi memberi laluan kepada saingan Piala FA dan kebanyakan mata akan tertumpu pada perlawanan di Petaling Jaya di antara Selangor FC dan Sri Pahang FC.
Menjelang misi balas dendam Selangor terhadap Sri Pahang selepas tewas dalam perlawanan akhir Piala FA 2018, Sukanz tampil menghidangkan 8 fakta perlawanan yang merangkumi rekod semasa pasukan serta statistik pertembungan bagi kedua-dua pasukan untuk tatapan pembaca:
#1 Rekod Kejuaraan Piala FA
Selangor muncul juara Piala FA sebanyak 5 kali iaitu pada tahun 1991, 1997, 2001, 2005 dan 2009 manakala Sri Pahang memperoleh kejayaan Piala FA pada tahun 2006, 2014 dan 2018.
#2 Pertemuan Kali Terakhir di Piala FA
Kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu dalam saingan Piala FA adalah ketika perlawanan akhir pada tahun 2018 yang menyaksikan skuad Tok Gajah di bawah kendalian Datuk Dollah Salleh menundukkan Selangor dengan keputusan 2-0.
#3 Pemain Yang Terlibat Dalam Pertemuan Terakhir
Baki 3 pemain terlibat pada perlawanan terakhir Piala FA antara kedua-dua pasukan yang menyaksikan Khairulazhan Khalid yang dibolosi dua kali malam tersebut masih kekal bersama The Red Giants manakala penjaring gol pendahuluan, Azam Azih dan Muslim Ahmad setia mewakili Sri Pahang.
#4 Rekod Semasa Selangor
Dalam saingan Liga Super, Selangor berada di tangga kedua dengan memenangi enam perlawanan dan hanya dua pasukan – Sri Pahang dan Johor Darul Ta’zim yang berjaya mencuri mata menentang The Red Giants dengan keputusan seri dan tewas masing-masing.
#5 Rekod Semasa Sri Pahang
Dalam saingan Liga Super, Sri Pahang menjadi pasukan kedua dengan rekod tanpa kalah selepas Johor Darul Ta’zim yang menyaksikan mereka di tangga ketiga liga dengan 4 kemenangan dan 4 keputusan seri.
#6 Pertemuan Terakhir Kedua-dua Pasukan
Dalam perlawanan yang berlangsung di Petaling Jaya, Pahang mendahului menerusi pertahanan prolifik mereka, Stefano Brundo pada minit ke-74 perlawanan sebelum Brendan Gan hadir menyelamatkan Sang Gergasi Merah dengan keputusan terikat 1-1.
#7 Perjalanan Piala FA Musim Ini
Piala FA Malaysia yang baru memasuki pusingan kedua kejohanan menyaksikan Selangor mendapat bye pada pusingan pertama manakala Sri Pahang melakukan kebangkitan semula menerusi jaringan sepakan penalti saat akhir Stefano Brundo menentang Perak.
#8 Lawan Berpotensi di Suku Akhir
Sekiranya Selangor atau Pahang mara ke peringkat seterusnya, mereka akan bertemu sama ada kelab Liga M3, PIB atau kelab Liga Super, Negeri Sembilan di pusingan suku akhir. Jika layak ke separuh akhir, mereka berkemungkinan besar bertemu juara bertahan, Johor Darul Ta’zim.