Kejohanan Trek Antarabangsa Belgium: Shah Firdaus Raih Pingat Perak Acara Keirin
April 17, 2023 Hafizuddin Omar

Kejohanan Trek Antarabangsa Belgium 2023 menyaksikan sekurang-kurangnya seorang wakil Malaysia menghiasi podium apabila pelumba basikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom berhasil meraih pingat perak dalam acara keirin kategori lelaki.

Kilauan pingat itu menjadi milik pelumba berusia 27 tahun terbabit setelah menamatkan perlumbaan akhir yang berlangsung di Wielercentrum Eddy Merckx, Ghent di belakang pelumba Perancis, Sebastien Vigier dari pasukan Creteil-kronos.

Manakala tempat ketiga pula menjadi milik Luca Priore dari skuad kebangsaan Perancis sekaligus membawa pulang pingat gangsa daripada kejohanan ini.

Untuk makluman, skuad kebangsaan Malaysia mempertaruhkan empat pelumba dalam acara ini termasuk jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang serta Muhammad Fadhil Zonis dan Muhammad Ridwan Shahrom.

Bagaimanapun, ketiga-tiga pelumba itu hanya beraksi dalam penentuan tempat ketujuh hingga ke-12 terpaksa berpuas hati di tempat ketujuh, kelapan dan kesepuluh masing-masing.

Featured Image: Faecbook Muhammad Shah Firdaus

Komen