Kaedah Latihan Simulasi Video Banyak Membantu Kami – Aaron Chia
April 18, 2023 Meor Mohamad Amirul

Beregu lelaki No.1 negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik mengakui kaedah latihan menggunakan simulasi video banyak membantu mereka menjelang kejohanan yang akan datang.

Mengulas lebih lanjut, Aaron merasakan kaedah latihan tersebut merupakan sesuatu pendekatan yang baharu dan membantu dalam mengenalpasti kelemahan mereka ketika dalam perlawanan.

“Saya rasa latihan tersebut sesuatu yang bagus tetapi saya tak boleh cakap terlalu banyak (mengenai latihan tersebut) atas dasar privasi.” 

“Sepertimana yang diberitahu Coach Rexy (Mainaky), latihan ini boleh mengajar kami untuk memperbaiki kesilapan yang kami lakukan. Saya fikir (latihan ini) merupakan pendekatan yang baharu.” ujar Aaron di hadapan pengamal media selepas sidang media Perodua Malaysia Masters 2023. 

Sebelum ini, Pengarah Kejurulatihan Beregu, Rexy Mainaky mendedahkan beregu utama lelaki dan wanita negara, Aaron-Wooi Yik dan Pearly Tan-Thinaah Muralitharan akan menjalani latihan simulasi video sebagai rutin tambahan kepada latihan sedia ada. 

Latihan ini diwujudkan selepas prestasi kurang memuaskan melibatkan kedua-dua beregu dalam kejohanan sebelum ini. 

Prestasi Aaron-Wooi Yik mengundang kritikan umum apabila terkandas dalam tiga kejohanan di eropah; Terbuka Jerman, All-England dan Terbuka Swiss pada bulan Mac lalu.

Manakala, Pearly-Thinaah pula beraksi baik di Terbuka Jerman namun mengikut jejak langkah yang sama di dua kejohanan berikutnya.

Sejauh mana hasil latihan simulasi video terhadap kedua-dua gandingan negara ini akan dapat dilihat para peminat dalam beberapa kejohanan besar yang terdekat seperti Kejohanan Badminton Asia (BAC), Piala Sudirman dan Malaysia Masters.

Komen