Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Dato’ Sri (Dr.) Norza Zakaria meletakkan harapan untuk menyaksikan lebih ramai pemain badminton negara beraksi di Sukan Olimpik 2024.
Tambah Norza, beliau mahu para pemain mengambil peluang yang ada sepanjang tempoh kelayakan Sukan Olimpik nanti untuk merebut tempat ke temasya yang akan berlangsung di Paris kelak.
“Mereka semua tidak sabar untuk bermain dengan baik dalam pelbagai kejohanan terutamanya semasa tempoh kelayakan yang sangat menarik dan mengujakan. Kita berharap akan mempunyai lebih ramai wakil dari Malaysia pada Sukan Olimpik akan datang.”
“Untuk badminton, kita boleh menghantar dua wakil untuk perseorangan jika berada dalam posisi 16 terbaik dan boleh menghantar dua wakil untuk beregu jika berada dalam kedudukan 8 terbaik. Jadi, saya rasa semua orang sedang mengejar slot kelayakan.” jelas Norza di hadapan pengamal media selepas sidang media Perodua Malaysia Masters 2023.
Untuk rekod, seramai lima wakil Malaysia beraksi dalam temasya Sukan Olimpik edisi lalu iaitu Lee Zii Jia (perseorangan lelaki), Soniia Cheah Su Ya (perseorangan wanita), Aaron Chia-Soh Wooi Yik (beregu lelaki), Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean (beregu wanita) dan gandingan campuran, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying.
Pada edisi yang berlangsung di Tokyo tersebut, hanya gandingan Aaron-Wooi Yik sahaja berjaya membawa pulang pingat iaitu gangsa ke bumi Malaysia sementara Lee Zii Jia terkandas di Pusingan 16 kepada bekas juara dunia, Chen Long.
Sementara itu, Soniia Cheah serta gandingan Kian Meng-Meng Yean dan Peng Soon-Liu Ying pula gagal mara melepasi peringkat kumpulan bagi acara masing-masing.